Arrianshah Akid bin Shah Indrawan (Arrian), 5 tahun, anak kepada penyanyi lelaki popular, Tomok, mula menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa video yang memaparkan nyanyian dan kepetahannya bertutur dalam Bahasa Inggeris dimuat naik di laman Instagram milik bapanya. Kini, peminat Arrian dapat menyaksikan lebih banyak lagi gelagat beliau yang menambat hati bersama adiknya, Andrashah Iman bin Shah Indrawan (Andra), 2 tahun, dengan durasi yang lebih lama di paparan skrin yang lebih besar menerusi rancangan terbaharu, ‘Rockstar Junior’.
Rancangan terbaharu di slot eBu ini akan bersiaran selama 30 minit pada setiap Rabu jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2017 di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Rancangan lapan episod ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.
‘Rockstar Junior’ akan memaparkan kisah kehidupan harian keluarga kecil Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok, dan isterinya Rahayu Abas (Ayu) ketika membesarkan dan mendidik dua orang anak teruna mereka, Arrian dan Andra. Sejajar dengan objektif utama program di bawah slot eBu, ‘Rockstar Junior’ akan turut memperlihatkan Tomok dan isterinya berkongsi tips keibubapaan dalam pelbagai situasi berbeza yang sering diamalkan oleh mereka berdua dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada Arrian serta Andra.
Mengulas mengenai Rockstar Junior, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, “Arrian dan Andra merupakan kanak-kanak yang comel, petah berbicara dan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk memikat hati orang ramai menonton klip video mereka. Justeru, kemunculan pertama mereka berdua bersama ibu bapa dalam sebuah rancangan televisyen pastinya ditunggu-tunggu oleh ramai peminat yang tidak sabar untuk mengetahui aktiviti harian si pintar Arrian dan Andra dan bagaimana mereka berdua dididik, apatah lagi apabila Arrian merupakan pelajar terbaik di kelasnya.
Kita sedia maklum bahawa untuk membesarkan dua anak lelaki pada masa yang sama tanpa kehadiran pengasuh merupakan satu cabaran buat ibu bapa. Keadaan inilah yang dihadapi oleh Tomok dan isteri. Tambahan pula, Arrian kini telah memasuki era prasekolah. Bagi memastikan setiap momen digarap sempurna, kami telah merancang rapi setiap kandungan yang disajikan dengan memfokuskan satu situasi kehidupan harian mereka sekeluarga dalam satu episod. Sebagai contoh, Rockstar Junior akan memaparkan kisah Arrian ke sekolah, kisah percutian mereka sekeluarga di taman tema, kisah Arrian dan Andra menemani ibu bapanya ke tempat kerja dan sebagainya.
Kepelbagaian situasi yang dipaparkan dalam setiap episod akan membuka ruang kepada lebih banyak perkongsian tip keibubapaan yang berbeza, bersesuaian dengan situasi pada episod tersebut. Oleh itu, penonton terutamanya golongan ibu bapa dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan bermanfaat dalam setiap episod. Penonton juga akan dapat melihat pendekatan yang digunakan oleh Tomok dan Ayu berbeza dalam mendidik anak-anak mereka. Selain itu, buat pertama kalinya penonton akan dapat menonton video dan melihat gambar-gambar eksklusif Arrian dan Andra semasa mereka dilahirkan.”
Keistimewaan rancangan ‘Rockstar Junior’ ini ialah Tomok turut menghasilkan sepenuhnya sebuah lagu berjudul ‘Rockstar Junior’ nyanyiannya sendiri yang diinspirasikan oleh kedua-dua anaknya lelakinya itu. Perjalanan sepanjang penghasilan lagu tersebut seperti penulisan lirik, gubahan lagu dan proses rakaman akan diselitkan dalam setiap episod sebelum mempersembahkan hasilnya dalam episod terakhir. Bukan setakat itu, Arrian dan Andra turut menyumbang dalam pembikinan lagu yang berentak pop-rock tersebut.
Razlin menambah, “Penghasilan lagu ‘Rockstar Junior’ menjadikan rancangan ‘Rockstar Junior’ lebih bermakna. Lagu tersebut merupakan luahan kasih daripada seorang ayah kepada anak-anaknya. Menariknya, Arrian dan Andra turut membantu ayahnya dalam menyiapkan lagu yang didedikasikan buat mereka berdua itu dan momen indah tersebut dirakamkan menerusi rancangan ini. Lagu penuh yang akan ditayangkan pada episod akhir kelak merupakan penutup paling sempurna buat ‘Rockstar Junior’.
Dalam pada itu, kami turut teruja apabila dapat menjalinkan kerjasama dengan ‘Pa & Ma’, sebuah penerbitan bercetak dan digital tersohor tanah air yang mengangkat topik-topik berkaitan dengan kehamilan, kelahiran dan penjagaan anak khususnya di lingkungan usia 6 tahun ke bawah. Penglibatan ‘Pa & Ma’ dilihat selaras dengan objektif utama rancangan ‘Rockstar Junior’ yang ingin membantu para ibu-bapa muda khususnya dalam membesarkan dan mendidik anak dengan kaedah yang bersesuaian.”
Beberapa rakan selebriti Tomok seperti Black, Shuib, Zahid, Atu Zero dan ramai lagi turut membuat penampilan istimewa dalam rancangan ini.
Ayuh! Mari kita berhibur dengan menonton gelagat mencuit hati Arrian dan Andra sambil mengetahui tips keibubapaan dalam rancangan ‘Rockstar Junior’ pada setiap hari Rabu mulai 11 Oktober 2017 pada jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Rancangan ini juga boleh ditonton secara percuma pada bila-bila masa menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’. Selamat menonton!