GEN Pagi SINAR Terokai Operasi Pusat Darah Negara, Dekati Proses Derma Darah
KUALA LUMPUR 19 OGOS 2026 – Sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan derma darah dan memahami proses yang terlibat di sebalik pengurusan bekalan darah negara, pasukan GEN Pagi SINAR telah mengadakan lawatan khas ke Pusat Darah Negara (PDN), Kuala Lumpur.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada penyampai GEN Pagi SINAR untuk melihat sendiri operasi harian PDN, termasuk prosedur pendaftaran penderma, proses saringan kesihatan, pengambilan darah, penyimpanan serta langkah-langkah keselamatan yang diamalkan bagi memastikan bekalan darah sentiasa berada pada tahap terbaik untuk keperluan pesakit.
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, lawatan ini bukan sahaja membuka mata pasukan penyiaran mengenai peranan penting PDN, malah menjadi platform untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada pendengar.
“Melalui lawatan khas ini, kami dapat memahami dengan lebih mendalam proses derma darah yang dilaksanakan oleh Pusat Darah Negara. Ramai dalam kalangan masyarakat mungkin mempunyai persoalan atau keraguan mengenai prosedur derma darah. Dengan pengalaman yang kami peroleh secara langsung, kami berharap dapat berkongsi maklumat yang tepat dan memberi keyakinan kepada orang ramai untuk tampil sebagai penderma darah.”
Beliau turut berkata bahawa inisiatif ini selari dengan komitmen SINAR untuk menghasilkan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memberi manfaat dan nilai tambah kepada masyarakat.
“Di SINAR, kami percaya bahawa media mempunyai peranan penting dalam menyebarkan kesedaran mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada komuniti. Bekalan darah yang mencukupi amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan kami berharap perkongsian daripada lawatan ini dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia tampil menderma darah secara berkala.”
Sepanjang lawatan, pasukan GEN Pagi SINAR turut berpeluang berinteraksi dengan pegawai serta petugas PDN bagi mendapatkan penerangan mengenai kriteria kelayakan penderma, kepentingan pendermaan darah secara konsisten serta cabaran dalam memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Melalui perkongsian pengalaman mereka di platform radio dan digital SINAR, GEN Pagi SINAR berharap lebih ramai pendengar akan memahami bahawa proses derma darah adalah selamat, mudah dan mampu memberi impak besar dalam membantu menyelamatkan nyawa.
SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90-an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.
Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
SINAR – Muzik Retro Terbaik.