Skip to main content
FINAL SUARA THR GEGAR

Jaja Dinobatkan Juara Final Suara THR GEGAR

KUALA LUMPUR 20 NOVEMBER 2026 – Pentas Final Suara THR GEGAR melabuhkan tirainya dengan penuh meriah apabila Jaja berjaya dinobatkan sebagai juara selepas menampilkan persembahan yang memukau di hadapan para juri dan penyokong yang hadir memberi sokongan.

Pertandingan yang menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dari Pantai Timur itu menyaksikan saingan sengit daripada lima finalis terbaik iaitu Fatini, Puteri Awani, Muslim, Jaja dan Kelly. Kesemua finalis berjaya mempamerkan keunikan serta kemampuan masing-masing sepanjang pertandingan, sekali gus membuktikan bahawa Pantai Timur tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang hiburan dan penyiaran.

Sebagai juara, Jaja membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta trofi, manakala tempat kedua disandang oleh Puteri Awani yang menerima wang tunai RM1,500. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Kelly dengan hadiah wang tunai RM1,000. Sementara itu, tempat keempat dan kelima masing-masing menjadi milik Fatini dan Muslim, dengan kedua-duanya menerima wang tunai RM500.

Menurut Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin, kejayaan penganjuran Final Suara THR GEGAR tahun ini membuktikan komitmen THR GEGAR dalam menyediakan ruang dan peluang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah serta merealisasikan impian mereka.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua finalis yang telah menunjukkan komitmen, kesungguhan dan keberanian sepanjang perjalanan pertandingan ini. Setiap peserta memiliki keistimewaan tersendiri dan telah memberikan persembahan terbaik mereka pada malam kemuncak.

“Tahniah juga kepada Jaja atas kejayaan muncul sebagai juara Final Suara THR GEGAR. Kami berharap kemenangan ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih cemerlang pada masa hadapan dan membuka lebih banyak peluang untuk terus berkembang dalam industri,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan dalam menjayakan program berkenaan sejak awal penganjurannya sehingga ke pentas akhir.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Final Suara THR GEGAR. Penghargaan khusus buat para finalis, juri, kru produksi, rakan-rakan media, penaja, rakan kerjasama strategik serta seluruh pendengar setia THR GEGAR yang tidak pernah putus memberikan sokongan.

“Sokongan dan kepercayaan yang diberikan selama ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menghasilkan kandungan serta program yang dekat dengan jiwa masyarakat Pantai Timur. Semoga THR GEGAR akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai radio nombor satu pilihan pendengar Pantai Timur serta menjadi platform yang sentiasa menyokong dan mengangkat bakat-bakat tempatan,” tambah beliau.

Final Suara THR GEGAR merupakan antara inisiatif berterusan THR GEGAR dalam mendekati komuniti pendengar sambil memberi peluang kepada individu berbakat untuk menonjolkan potensi mereka di platform yang lebih besar. Penganjuran program ini juga selari dengan usaha stesen tersebut untuk terus memperkasakan bakat tempatan dan mengukuhkan hubungan dengan pendengar setia di seluruh Pantai Timur.

Keputusan Penuh Final Suara THR GEGAR

  • Juara: Jaja (RM2,000 + Trofi)

  • Naib Juara: Puteri Awani (RM1,500)

  • Tempat Ketiga: Kelly (RM1,000)

  • Tempat Keempat: Fatini  (RM500)

  • Tempat Kelima: Muslim (RM500)