Gambar bersama juara, Asyraf Nasir (tiga dari kiri), dikelilingi juri-juri dan finalis-finalis RapStar ERA
RapStar ERA mengumumkan Asyraf Nasir sebagai juara pertandingan pencarian rapper ini selepas pelbagai cabaran dan tugasan sehingga ke pertarungan akhir.
Juara RapStar ERA membawa pulang sebuah trofi, wang tunai bernilai RM2,000 dan kontrak untuk menghasilkan sebuah single bersama Def Jam Recordings and Universal Music Malaysia. Manakala, empat finalis lain menerima hadiah saguhati bernilai RM500 setiap seorang.
Pada pertarungan akhir ini, kesemua lima finalis mempersembahkan bakat dan kreativiti mereka mengikut cetusan idea untuk lirik dan rentak rap yang diadili oleh Kenny Ong, Pengarah Urusan, Universal Music Malaysia dan Singapura; Nazri Noran, Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu, Astro; dan SonaOne, penyanyi hip hop terkenal tanah air.
Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan mantap dan bertenaga daripada penyanyi-penyanyi baharu tanah air seperti Kmy Kmo & Luca Sickta, Dolla, Shalma Eliana dan Abu Bakar Xli. Juga membuat kemunculan, Fariz Jabba dan Yung Raja, penyanyi Singapura serta Mukarakat dari Indonesia.