Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 Eratkan Hubungan Bersama Pendengar di Stadium Nasional Bukit Jalil
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2026 – SINAR terus memperkukuhkan hubungan dengan para pendengarnya menerusi penganjuran Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 yang berlangsung meriah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Ahad, 28 Jun lalu.
Program yang berlangsung dari jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi itu berjaya menghimpunkan ramai pendengar setia SINAR dalam suasana santai, sihat dan penuh kemesraan. Seawal pagi, para peserta mula berkumpul bagi memeriahkan acara yang dianjurkan sebagai platform untuk mendekatkan lagi jenama radio itu dengan komuniti pendengarnya.
Selain menikmati aktiviti berjalan kaki di sekitar kawasan stadium, peserta turut berpeluang meluangkan masa bersama warga kerja SINAR serta berinteraksi dengan pendengar lain yang berkongsi minat dan kesetiaan terhadap stesen radio tersebut.
Sebagai tanda penghargaan kepada para pendengar yang sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada SINAR, 50 peserta terawal yang hadir menerima merchandise eksklusif SINAR. Pihak penganjur turut menyediakan light refreshment berupa roti dan air bagi memastikan keselesaan peserta sepanjang program berlangsung.
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 merupakan antara inisiatif jenama itu untuk mewujudkan pengalaman yang lebih dekat dan bermakna bersama para pendengar di luar platform radio.
“Di SINAR, pendengar sentiasa menjadi keutamaan kami. Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi merupakan satu ruang untuk kami bertemu dan berinteraksi secara lebih dekat dengan komuniti pendengar yang selama ini menyokong perjalanan SINAR.
Kami amat gembira melihat kehadiran serta semangat yang ditunjukkan oleh para peserta. Sambutan yang diterima jelas membuktikan bahawa pendengar bukan sahaja mengikuti kami di udara, malah sentiasa bersedia untuk bersama-sama dalam aktiviti yang dianjurkan.
Program seperti ini juga sejajar dengan usaha SINAR untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat. Kami berharap Kedek-Kedek Walk dapat menjadi aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi turut memberi inspirasi kepada orang ramai untuk terus mengamalkan gaya hidup aktif dan seimbang,” katanya.
Kejayaan penganjuran Kedek-Kedek Walk SINAR 2026 mencerminkan komitmen berterusan SINAR dalam menghubungkan jenama dengan pendengarnya menerusi pelbagai aktiviti lapangan yang relevan dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
Melalui program seperti ini, SINAR berharap dapat terus menjadi jenama radio pilihan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyatukan komuniti pendengar melalui pengalaman yang lebih bermakna.
SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu yang menampilkan lagu-lagu popular era 90-an, SINAR terus menjadi pilihan pendengar di Malaysia.
Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR mengukuhkan kedudukannya sebagai Muzik Retro Terbaik. Orang ramai boleh mengikuti SINAR menerusi frekuensi radio, platform media sosial rasmi serta aplikasi SINAR yang tersedia di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
SINAR – Muzik Retro Terbaik.