Cantik, mewah dan berpengaruh. Tiga perkataan itu sangat sinonim untuk dikaitkan dengan kehidupan artis wanita tersohor negara, Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan nama Che Ta.
Aktres jelita itu meraih populariti yang bukan kecil dalam industri hiburan tanah air, sebaliknya, dia menempa kedudukan dan kemasyhuran yang sangat kukuh sekali gus menjadikan kemunculannya sentiasa dinanti peminat.
Che Ta tidak hanya menjadi tarikan umum kerana lakonannya yang dapat ditonton di kaca televisyen atau kerana keterbukaan dirinya dalam menyuarakan pendapat peribadi. Namun, satu hal dalam diri Che Ta yang sentiasa menjadi sorotan media dan tumpuan orang ramai adalah kehidupan serba mewah yang sangat disenanginya. Demikian juga kehadiran suaminya, Zain Saidin serta anak-anaknya terutamanya, Aaisyah Dhia Rana yang sangat comel dan bergaya seperti ibunya.
Dalam kalangan media, Che Ta juga terkenal sebagai artis yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan diri. Bahkan, kerana penampilan dirinya, Che Ta berjaya mencipta fenomena tersendiri sehingga beliau menjadi antara selebriti tempatan yang menjadi perhatian ramai selain mempunyai pengaruh yang kuat di media sosial.
Bersandarkan pada populariti dan pengaruhnya, pihak Astro berbesar hati memilih keluarga pelakon, pengacara dan usahawan terkenal ini selain turut menampilkan suaminya yang juga pelakon, Zain Saidin dan tiga orang cahaya mata iaitu Ammar Effendy, Aniq Ezzra dan si comel Aaisyah Dhia Rana sebagai tarikan utama program realiti digital, THE HOUSE untuk musim terbaharu.
Seperti dua musim yang terdahulu, pihak Astro akan menggunakan platform digital untuk menyiarkan secara eksklusif enam buah episod istimewa program THE HOUSE untuk musim yang kedua menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu bermula 18 Januari 2017.
Ini diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam bermula 25 Januari 2017.
Menurut Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Raja Arshad, “Perkembangan teknologi digital telah membentuk gaya hidup yang berbeza berbanding zaman sebelum kemunculan internet. Jika sebelum ini penonton hanya boleh berharap pada peti televisyen ataupun pawagam sebagai platform utama untuk menonton rancangan pilihan dan filem, masyarakat kini lebih bertuah kerana disajikan dengan inovasi tontonan melalui aplikasi mudah alih seperti televisyen internet atau menerusi laman perkongsian video YouTube, Facebook dan pautan di portal rasmi secara percuma.
Sudahpun memasuki musim yang ketiga, kami masih mengekalkan format asal program THE HOUSE yang bersifat digital kerana kelebihan itu secara tidak langsung menjadikan program ini dapat ditonton secara mudah alih sekali gus memudahkan pengguna menonton mengikut keinginan mereka tanpa perlu bergantung kepada peti televisyen,” katanya.
Jastina berkata, Astro juga amat gembira dengan sambutan memberangsangkan daripada penonton untuk dua buah musim yang lalu apabila menerima lebih 20 juta capaian di laman media sosial setiap minggu dengan jumlah tontonan video sebanyak 13 juta secara keseluruhan.
”Jika diukur daripada segi rating pula, program THE HOUSE berjaya mencatatkan peningkatan lebih 30% pada kadar purata tontonan berbanding rancangan lain yang ditayangkan pada waktu yang sama walaupun orang ramai turut mempunyai pilihan untuk menonton menerusi platform digital pada masa yang sama. Ini membuktikan bahawa pengisian yang diperkenalkan adalah relevan dan menepati cita rasa penonton masa kini,” jelas beliau lagi.
Menerusi THE HOUSE musim baharu ini, para peminat bepeluang untuk mengetahui kisah di sebalik kehidupan penuh glamour Che Ta yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan masyarakat umum sebelum ini.
Selain ini, THE HOUSE juga turut memaparkan ragam dan kisah ahli keluarga Che Ta yang lain seperti Zain Saidin; seorang suami yang romantik yang berusaha keras dalam bidang perniagaan yang diceburi serta tiga cahaya mata beliau termasuk Ammar Effendy dan Aniq Ezzra; anak bujang Che Ta daripada perkahwinannya yang terdahulu serta Aaishah Dhia Rana; si comel yang bijak bergaya.
Sepanjang mereka berada di dalam THE HOUSE, pelbagai cabaran yang akan diberikan untuk menghasilkan suasana yang menarik dan bermanfaat untuk ditonton oleh masyarakat. Setiap episod program ini akan memberikan nilai-nilai murni kekeluargaan dan kemanusian kepada penonton dan juga keluarga artis itu sendiri.
Uniknya lagi, para penonton juga berpeluang untuk berinteraksi bersama beliau menerusi ruangan ‘Chat’ di portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my. Bukan itu sahaja, para penonton juga boleh dapatkan informasi terkini mengenai THE HOUSE termasuk foto dan video eksklusif untuk ditonton.
Selain daripada enam buah episod istimewa yang akan ditayangkan di www.thehouse.com.my, para penonton juga boleh ikuti pelbagai lagi kisah menarik, video keluarga yang eksklusif termasuklah ragam si comel Aaisyah yang pasti akan mencuit hati anda menerusi portal rasmi ini.
Selain itu, para penonton juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti pakej makan malam, telefon pintar, alat solek dan barangan kecantikan Rozita Che Wan serta banyak lagi dengan hanya menonton episod istimewa program THE HOUSE pada setiap minggu untuk musim ini.
Menurut Jastina, pemilihan Che Ta sebagai selebriti dalam THE HOUSE musim baharu disifatkan oleh Astro sebagai tepat kerana pengaruh luar biasa yang dimiliki aktres jelita itu.
“Beliau mempunyai pengaruh yang kuat di media massa terutamanya di jaringan media sosial kerana setiap perkongsian beliau akan menjadi ikutan dan bualan ramai. Tidak terkecuali juga kehidupan keluarga beliau merupakan antara carian tertinggi utama di laman sesawang. Dengan jumlah pengikut yang cukup tinggi di laman sosial Instagram iaitu sebanyak 3.5 juta, membuktikan keluarga Che Ta cukup popular dan dilihat sangat tepat untuk ditampilkan menerusi program THE HOUSE musim ini.
Tambahan pula, jika sebut sahaja nama Che Ta, pasti ramai yang membayangkan kehidupannya yang cukup mewah. Selain mempunyai personaliti yang menyenangkan serta bijak bergaya, Che Ta juga cukup terkenal dengan sikap ramah yang sering berbicara menggunakan loghat utara,” ujar beliau lagi.
Dalam masa sama, Jastina juga mengakui, sikap keterbukaan Che Ta untuk berkongsi kemewahan yang dimiliki bersama peminat kadang kala turut mengundang kritikan ramai.
Namun, satu hal yang sangat dikagumi mengenai Che Ta ialah, artis popular itu enggan mengambil pusing kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap gaya hidupnya itu, sebaliknya, figura jelita ini sebaliknya semakin rancak mengembangkan empayar perniagaannya dan sering menegaskan bahawa segala kemewahan yang ada itu adalah hasil dari titik peluhnya sendiri.
“Menerusi THE HOUSE, kami ingin tampilkan sisi lain beliau yang mungkin tidak pernah diketahui umum. Semangat yang beliau miliki dapat dijadikan inspirasi di samping memberi motivasi kepada orang ramai untuk berjaya. Melihat kepada populariti dan reputasi yang beliau miliki, kami yakin program ini bakal memikat hati para penonton yang pastinya berasa teruja untuk mengenali beliau dengan lebih dekat,” kata Jastina.
Jangan lupa saksikan program menarik THE HOUSE yang bakal disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu bermula 18 Januari 2017 dan diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam bermula 25 Januari 2017.