KUALA LUMPUR, 19 September 2025 – KITA FM telah mencipta sejarah baharu dalam industri penyiaran apabila menerima dua pengiktirafan berprestij daripada Malaysia Book of Records bagi kategori "Longest Distance Outdoor Radio Broadcast Tour" dan "Longest Distance Outdoor Radio Broadcast Tour by Automotive Manufacturer."
Kempen jelajah luar studio selama 15 hari yang berlangsung di seluruh negara menggunakan bas Hop-On-Hop-Off telah menyaksikan penyampai dari 13 stesen radio di bawah Astro Audio bergabung tenaga untuk mendekati pendengar secara lebih santai dan mesra. Jelajah ini bukan sahaja berlangsung di dalam bas, malah turut singgah di lokasi-lokasi terpilih di pelbagai negeri, menjadikannya satu pengalaman unik dan bersejarah.
Sepanjang kempen ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuk cabaran dan permainan interaktif di setiap hentian, sesi bersua muka bersama petugas PERODUA, serta peluang untuk penyampai radio bertemu secara langsung dengan pendengar setia mereka. Aktiviti ini telah berjaya mengeratkan hubungan antara penyampai dan komuniti pendengar, sekaligus menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Lebih membanggakan, KITA FM berjaya menghubungkan rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang, menjadikan radio sebagai medium penyatuan yang merentas sempadan geografi dan budaya. Sambutan hangat yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa radio masih relevan dan mampu menjadi penghubung emosi antara penyampai dan pendengar.

Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, inisiatif ini adalah satu usaha yang amat bermakna dalam menyatukan rakyat Malaysia melalui medium radio. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan kempen ini, terutamanya PERODUA sebagai rakan kolaborasi utama.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penaja yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan kempen ini, iaitu KFC, PERODUA, BHPetrol dan Blackmores. “Sokongan daripada jenama-jenama ini bukan sahaja memperkukuh pelaksanaan kempen, malah membolehkan kami menawarkan pengalaman yang lebih bermakna kepada pendengar di seluruh negara. Kami amat menghargai kepercayaan dan komitmen mereka dalam menjadikan KITA FM sebagai platform yang menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.
Priya turut mengalu-alukan penyertaan penaja baharu untuk perancangan KITA FM yang akan datang. “Kami sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan jenama-jenama yang ingin menyampaikan mesej positif kepada masyarakat melalui pendekatan kreatif dan inklusif. KITA FM bukan sekadar radio ia adalah gerakan yang menyatukan suara rakyat Malaysia.”
Selain itu, sebagai sebahagian daripada komitmen KITA FM untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat, kempen jelajah ini turut mengetengahkan inisiatif "Kami Benci Bulli", satu gerakan kesedaran yang bertujuan membanteras budaya buli dalam kalangan masyarakat. Inisiatif ini telah mendapat sambutan hangat di setiap lokasi, membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin peka dan bersatu dalam menolak sebarang bentuk buli, sama ada secara fizikal, mahupun siber.
Penyampai radio juga turut meluahkan rasa teruja kerana dapat bertemu dengan pendengar secara langsung, bertanya khabar, bergambar dan berkongsi pengalaman mereka di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara penyampai dan pendengar, malah menjadi kenangan manis yang akan dikenang sepanjang hayat.
KITA FM dan Astro Audio terus komited untuk membawa kandungan yang segar, relevan dan menyatukan rakyat Malaysia melalui gelombang radio.