Skip to main content
KITA FM

KITA FM Raih Malaysia Book of Records Dengan Larian Komuniti Simbolik 63KM Sempena Hari Malaysia Ke-63

KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2026 – KITA FM melakar satu lagi sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Longest Cumulative Distance Covered in an Outdoor Running Campaign” menerusi kempen KITA FM Satu Nama Satu Suara yang bersempena sambutan Hari Malaysia Ke-63.

Kempen yang mendapat sokongan daripada HURIX’S, Thong Guan, AEON Credit, Google Pixel dan BHPetrol itu berjaya menghimpunkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi gabungan aktiviti siaran luar, larian komuniti, persembahan hiburan dan inisiatif kemasyarakatan yang berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negara.

Menurut Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen KITA FM dalam mendekati pendengar secara lebih dekat sambil menyemarakkan semangat perpaduan yang menjadi teras sambutan Hari Malaysia.

“Kami amat berbangga apabila KITA FM berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kempen yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia. Lebih istimewa, pencapaian ini diwujudkan bersempena Hari Malaysia Ke-63 sebagai simbol perjalanan, perpaduan dan semangat kebersamaan yang terus menyatukan rakyat negara ini.

Setiap langkah yang diambil sepanjang kempen ini melambangkan satu suara, satu semangat dan satu Malaysia. Pengiktirafan ini bukan sahaja milik KITA FM, malah milik semua pendengar yang telah bersama-sama menjayakan kempen ini di seluruh negara,” katanya.

Salah satu tarikan utama kempen tahun ini ialah penganjuran larian komuniti yang melibatkan kesemua 13 stesen radio di bawah Astro Audio. Setiap stesen menganjurkan acara larian di negeri masing-masing dengan jarak antara tiga hingga lima kilometer, membolehkan ribuan pendengar mengambil bahagian dalam acara tersebut. 

Penyertaan di setiap lokasi tersebut telah membentuk jumlah jarak kumulatif sejauh 63 kilometer, sekali gus melayakkan KITA FM menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records. Angka itu dipilih sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia Ke-63, sejajar dengan tema Satu Nama Satu Suara yang menekankan nilai perpaduan, keharmonian dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat, larian komuniti ini turut menjadi platform yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum, usia dan latar belakang dalam satu aktiviti yang mencerminkan semangat muhibah dan kebersamaan.

KITA FM memulakan siri siaran luarnya pada 29 Ogos 2026 sempena Raptai Penuh Hari Kebangsaan sebelum meneruskan siaran langsung pada 31 Ogos 2026 bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya. Program ini kemudiannya diperluaskan ke beberapa negeri terpilih menerusi pelbagai aktiviti bersama pendengar dan komuniti setempat.

“Kejayaan ini menjadi lebih bermakna kerana ia lahir daripada penyertaan dan sokongan yang diberikan oleh pendengar di seluruh negara. Apabila semua stesen radio Astro Audio berganding bahu menjayakan kempen ini, ia membuktikan bahawa perpaduan boleh dizahirkan melalui sebuah pengalaman yang menyeronokkan dan memberi impak kepada masyarakat.

Ia bukan sekadar sebuah rekod, tetapi menjadi simbol kekuatan apabila rakyat Malaysia bergerak bersama ke arah matlamat yang sama,” tambah Priya.

Selain larian komuniti, KITA FM turut menganjurkan Mini Showcase KITA FM yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan di beberapa lokasi termasuk Kuantan, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru. Program tersebut memberi peluang kepada pendengar untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan personaliti serta jenama radio kegemaran mereka.

Sebagai platform yang menghimpunkan 13 stesen radio pelbagai bahasa di bawah Astro Audio, KITA FM turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti sepanjang jelajah berlangsung. Antaranya termasuk program penggantian topi keledar secara percuma di lima lokasi terpilih iaitu Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching bagi meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

Priya berkata kejayaan tersebut membuktikan hubungan kukuh yang terjalin antara Astro Audio dan jutaan pendengarnya yang sentiasa memberikan sokongan kepada setiap inisiatif yang dianjurkan.

“KITA FM merupakan antara usaha terbaik kami untuk menghargai kesetiaan pendengar kepada 13 stesen radio di bawah Astro Audio. Sambutan luar biasa yang diterima di setiap lokasi membuktikan bahawa radio masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati rakyat Malaysia.

Kami merakamkan penghargaan kepada semua pendengar, rakan penaja, rakan strategik dan seluruh warga kerja yang telah memainkan peranan dalam menjayakan KITA FM Satu Suara Satu Malaysia. Sokongan ini membolehkan kami mencipta sejarah, dan kami berharap dapat terus mendekati masyarakat menerusi lebih banyak program yang menarik pada masa hadapan,” katanya.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini menjadi satu lagi pencapaian penting buat Astro Audio dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti serta membawa pengalaman radio yang lebih dekat, relevan dan bermakna kepada rakyat Malaysia.