KITA FM Wajar Diteruskan Sebagai Lambang Wajah Malaysia dan Penyatu Semangat Kebangsaan
PUTRAJAYA, 1 SEPTEMBER 2026 – Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan inisiatif KITA FM yang diterajui oleh Astro Audio sebagai satu usaha yang sangat baik dan wajar diteruskan kerana berjaya mencerminkan wajah sebenar Malaysia yang majmuk, harmoni dan bersatu.
Ketibaan Datuk Seri Fahmi ke konti KITA FM di Dataran Putrajaya sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 telah disambut oleh Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, sebelum beliau meluangkan masa meninjau operasi siaran langsung yang berlangsung sepanjang sambutan tersebut.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut menyaksikan lima stesen radio utama Astro Audio iaitu ERA, SINAR, HITZ, MY FM dan RAAGA bersiaran secara langsung dari Dataran Putrajaya menerusi platform KITA FM, menampilkan kandungan yang meraikan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat Malaysia.
Menurut Datuk Seri Fahmi, gabungan pelbagai stesen radio yang mewakili pelbagai bahasa dan segmen pendengar menerusi KITA FM merupakan contoh terbaik bagaimana media penyiaran dapat memainkan peranan dalam menyatukan rakyat.
"Saya melihat KITA FM sebagai satu inisiatif yang sangat baik dan wajar diteruskan. Ia melambangkan wajah Malaysia yang sebenar, di mana rakyat daripada pelbagai kaum, budaya dan latar belakang dapat bersama-sama berkongsi aspirasi serta semangat cintakan negara.
"Usaha yang dibawa oleh Astro Audio melalui gabungan ERA, SINAR, HITZ, MY FM dan RAAGA ini menunjukkan bagaimana industri penyiaran radio boleh memainkan peranan besar dalam menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa radio kekal relevan sebagai medium komunikasi yang dekat dengan masyarakat dan mempunyai keupayaan untuk menyampaikan mesej perpaduan, patriotisme dan pembangunan negara secara berkesan.
Datuk Seri Fahmi berharap lebih banyak inisiatif seperti KITA FM dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh perpaduan nasional, menggalakkan interaksi antara masyarakat berbilang kaum dan menyemai rasa bangga menjadi rakyat Malaysia.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 di Dataran Putrajaya tahun ini menghimpunkan ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat yang bersama-sama meraikan detik bersejarah negara dalam suasana penuh semangat, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan yang menjadi asas kemajuan Malaysia.