Skip to main content
ERA KM

KM ERA. Tarik Hampir 1,200 Penyertaan, Bukti Semangat Komuniti dan Sokongan Luar Biasa Pendengar ERA

PUTRAJAYA 9 JULAI 2026 – ERA membuktikan kekuatan komuniti pendengarnya menerusi penganjuran KM ERA, yang berjaya menarik hampir 1,200 peserta daripada pelbagai lapisan umur dalam acara larian malam sejauh 5 kilometer yang berlangsung meriah di Dataran Putrajaya.

Acara yang bermula pada jam 8.30 malam itu dianjurkan secara terbuka dan sukarela dengan tujuan menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan antara ERA dan komuniti pendengarnya. Walaupun diadakan pada hari bekerja, KM ERA. menerima sambutan yang amat menggalakkan, sekali gus mencerminkan semangat luar biasa para peserta untuk menyertai aktiviti komuniti yang positif dan kreatif.

Penganjuran KM ERA turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada komuniti Geng Lukis Malam, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan acara tersebut. Kolaborasi ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti pencinta aktiviti luar dan seni kreatif, malah membantu menyemarakkan suasana sepanjang program berlangsung. Kerjasama berkenaan turut menerima pelbagai reaksi positif daripada peserta yang menyifatkan KM ERA sebagai satu inisiatif komuniti yang unik dan berbeza.

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, sambutan yang diterima jauh melebihi jangkaan pihak penganjur.

“Kami amat teruja dan bersyukur melihat hampir 1,200 peserta hadir untuk menyertai KM ERA. Sejujurnya, kami tidak menyangka acara yang berlangsung pada hari bekerja dan bermula pada waktu malam ini mampu menarik penyertaan yang begitu ramai. Sambutan luar biasa ini membuktikan komuniti ERA sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa terhadap aktiviti yang kami anjurkan,” katanya.

Menariknya, KM ERA bukan sekadar sebuah acara larian biasa. Para peserta perlu mengikuti laluan khas yang telah ditetapkan oleh penganjur dan melengkapkan keseluruhan laluan mengikut bentuk yang dirancang. Apabila rekod larian dimuat naik ke aplikasi Strava, laluan tersebut akan memaparkan perkataan “ERA”, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih unik dan bermakna kepada setiap peserta.

“Salah satu matlamat utama kami adalah untuk memberikan pengalaman yang berbeza kepada para peserta. Laluan khas yang direka sehingga membentuk perkataan ‘ERA’ dalam aplikasi Strava ternyata berjaya mencetuskan keterujaan dan memberikan cabaran yang menyeronokkan sepanjang larian berlangsung. Kami gembira melihat ramai peserta berkongsi pencapaian mereka di media sosial dan menikmati pengalaman tersebut bersama-sama,” tambah Azah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Geng Lukis Malam atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan acara berkenaan.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Geng Lukis Malam atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Kolaborasi ini membuktikan bahawa apabila komuniti berganding bahu, kita mampu mencipta pengalaman yang lebih bermakna dan memberi impak positif kepada masyarakat. Kami sangat menghargai komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan KM ERA berlangsung dengan jayanya,” ujar beliau.

Sepanjang program berlangsung, ERA turut menerima pelbagai maklum balas positif daripada peserta yang menyifatkan KM ERA sebagai satu platform yang berjaya menggabungkan elemen kecergasan, kreativiti dan semangat komuniti dalam satu acara.

Azah turut mengucapkan penghargaan kepada semua peserta, sukarelawan, rakan kerjasama dan pihak yang telah memainkan peranan dalam merealisasikan acara tersebut.

“Bagi pihak ERA, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelari yang sudi meluangkan masa untuk menyertai dan menjayakan KM ERA. Sokongan yang diberikan amat bermakna buat kami dan menjadi motivasi untuk terus menganjurkan lebih banyak aktiviti yang mendekatkan ERA dengan komuniti pada masa hadapan,” katanya.

Kejayaan KM ERA sekali lagi mengukuhkan komitmen ERA dalam mewujudkan pengalaman yang dekat di hati rakyat Malaysia menerusi aktiviti yang menyeronokkan, kreatif dan memberi impak positif kepada komuniti

ERA ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ERA menampilkan lagu-lagu popular, hits terkini dan menjadi pilihan utama pendengar, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Malaysia.

Dengan hampir 6 juta pengikut di media sosial, ERA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Hit Terkini. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ERA di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ERA melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

ERA – Muzik Hit Terkini.