‘AME 2021’ bakal memperkenalkan anugerah dan persembahan baharu untuk menyemarakkan lagi suasana industri hiburan negara.
Acara yang dinanti-nantikan, Anugerah MeleTOP ERA edisi kelapan atau ‘AME2021’ yang bertemakan busana Glam Legend dengan tagline #YangFreshYangLegend bakal menemui para penonton pada 29 Mei secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), eksklusif di platform Astro Ria (104), Astro GO, On Demand dan sooka. Pada kali ini, ‘AME 2021’ menjanjikan lebih banyak kemeriahan dan kejutan kerana dalam fasa endemik, penganjuran anugerah ini mampu dilakukan dengan lebih sempurna dari segi persembahan, kehadiran para penonton mahupun selebriti dan gimik. Acara ‘AME2021’ juga diaktifkan oleh penaja utama, 100PLUS.
Edisi kali ini turut memperkenalkan tagline tambahan #TetibaAME2021 yang bersesuaian dengan pengumuman Hari Raya secara mengejut yang meriuhkan satu negara sehinggakan impaknya masih dirasai sehingga ke hari ini. Buat julung kalinya, AME2021 dianjurkan pada bulan Syawal dan akan membariskan persembahan berkonsepkan Hari Raya, khas untuk semua peminat.
Selain daripada itu, ‘AME 2021’ akan membawa pelbagai pembaharuan yang bakal menggamat suasana industri hiburan negara. Terdapat kemungkinan acara kali ini bakal menampilkan lebih daripada 3 pengacara asal, iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Pengelolaan kali ini turut memperkenalkan anugerah baharu yang pastinya menyemarakkan lagi acara anugerah berprestij yang dinanti-nantikan. Buat julung kalinya juga, anugerah ‘Top Top MeleTOP’ akan ditentukan oleh barisan juri profesional.
Acara kemuncak ‘AME 2021’ bakal dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh angkatan penyanyi tersohor yang mewakili generasi legend dan ‘BBNU’ seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Search, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Dolla, Wany Hasrita, HanByul, Yonnyboii, Zynakal, MK K-Clique, De Fam, Bunga, Amir Masdi, Usop, Tajul, Afieq Shazwan, Asyraf Nasir serta ramai lagi. Selain itu, barisan penyampai anugerah terdiri daripada Kamal Adli, Uqasha Senrose, Faizal Hussein, Rozita Che Wan, Syafiq Kyle, Mimi Lana dan lain-lain.
AME2021 akan dibuka dengan ‘Konsert Tirai AME 2021’ yang dihoskan oleh personaliti ERA; Danial Zaini dan Isha Norsham yang ditayangkan pada jam 8.30 malam. Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Isaac Voo IN2IT, Ara Johari, Wany Kayrie, Aisya Retno, Aweera, Fieya Julia serta Yazid Izaham dan ramai lagi.
Manakala stesen radio ERA bakal mengadakan ‘Showcase AME 2021’ yang akan dihoskan oleh Munabella dan Zahier Yusoff, serta melibatkan barisan artis hebat seperti Imsoniacks, ChronicalZ, Daniel Chuer dan Irfan Haris. 'Showcase' ini akan diadakan di perkarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Mei bermula jam 4.00 hingga 5.00 petang. Para penonton turut boleh strim showcase ini menerusi platform-platform digital Era yakni SYOK, Facebook, YouTube dan TikTok.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, "Kami amat berbesar hati akhirnya dapat menganjurkan ‘AME2021’ dalam fasa endemik setelah penantian selama 4 bulan. Kembalinya ‘AME 2021’ merupakan tanda penghargaan dan terima kasih pihak Astro terhadap para peminat, barisan artis, rakan-rakan media serta penaja utama 100PLUS atas kesabaran dan sokongan mereka yang tidak berbelah bagi kepada ‘AME2021’ dan industri hiburan tanah air walaupun ditunda secara mengejut pada bulan Januari yang lalu."
‘AME 2021’ ialah kemuncak anugerah pertama dalam fasa endemik yang bakal menobatkan pemenang anugerah pilihan peminat serta menyajikan persembahan hebat dan kejutan yang menggemparkan. Jangan lupa janji temu bersama ‘AME 2021’ pada 9 Malam, 29 Mei ini. Yang pasti, #TetibaAME2021 kembali!