Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’
Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’
02
May
2017

Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’

Lapan Pemain Komedi Popular Kemudi Program ‘Konsert Komedi’

Pelawak diberikan kebebasan mencorak sendiri episod masing-masing dengan persembahan nyanyian dan sketsa

 

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2017 – Selepas Maharaja Lawak Mega musim ini melabuhkan tirainya, keriuhan dan gelak tawa yang bergema pada setiap Jumaat malam akan terus dihidupkan dengan sebuah program variasi hiburan komedi baharu, ‘Konsert Komedi’. ‘Konsert Komedi’ yang memperlihatkan penglibatan lapan pemain komedi popular tanah air ini akan mula menggeletek hati penonton mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand.

Program Konsert Komedi bakal menyaksikan persembahan nyanyian eksklusif yang diselangi dengan sketsa oleh pemain komedi baik solo mahupun berkumpulan bersama selebriti undangan mereka selama satu jam. Berdurasi sebanyak lapan episod, program ini akan bersiaran secara langsung bagi episod pertama dan kedua manakala episod selebihnya merupakan episod rakaman yang dibuat di Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Istimewanya program ini, setiap pemain komedi diberi kebebasan penuh untuk mencorak sendiri persembahan nyanyian dan sketsa yang dipentaskan mengikut daya kreatif serta cara mereka sendiri. Setiap persembahan pula akan diiiringi oleh live band iringan Pengarah Muzik tersohor, Datuk Ramli MS.

Ketua Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Kami amat berbesar hati untuk memperkenalkan sebuah lagi program komedi kepada penonton setia Astro Warna. ‘Konsert Komedi’ merupakan sebuah program yang unik kerana program ini menyaksikan barisan pemain komedi popular tanah air membuat persembahan nyanyian secara eksklusif dan bersketsa dalam persembahan mereka. Selain itu, format program ini juga tidak begitu terikat justeru memberi kebebasan kepada pemain komedi untuk menampilkan sebuah persembahan mengikut kreativiti masing-masing.

Mereka ini diberikan kepercayaan penuh untuk mengemudi episod mereka sendiri. Daripada pemilihan selebriti undangan sehinggalah ke gaya persembahan, mereka bebas membuat keputusan sendiri asalkan terdapat suntikan dua elemen utama iaitu nyanyian dan sketsa dalam episod tersebut. Hasilnya, setiap episod bukan sahaja menjanjikan pemain komedi yang berbeza, malah kandungan dan perjalanan program juga ditampilkan dengan keunikan tersendiri.

Melihat akan sambutan padu penonton terhadap program-program di Astro Warna, kami rasakan sudah tiba masanya untuk kami lakukan sesuatu sebagai tanda penghargaan buat mereka. Justeru itu, buat julung kalinya kami akan melancarkan sebuah saluran berdefinisi tinggi baru iaitu Warna HD di saluran 124 mulai 8 Mei ini yang membolehkan penonton menikmati program di saluran Astro Warna dengan kualiti paparan yang lebih jelas. Istimewa lagi, program ‘Konsert Komedi’ ini merupakan program flagship pertama yang akan bersiaran di Warna HD. Dengan adanya saluran yang berdefinisi tinggi ini, pastinya penonton akan mendapat pengalaman tontonan yang lebih hebat.”

Lapan pemain komedi yang akan mengemudi program ini terdiri daripada Hans Isaac, Afdlin Shauki dan Awie yang bergabung di bawah nama kumpulan ‘Baik Punya Cilok’, ‘Shiro’, ‘Zero’, ‘Bocey’, ‘Nabil’, ‘Sepahtu’, ‘Dato’ AC Mizal’ dan kemunculan semula kumpulan lawak otai yang dirindui semua peminat tegar komedi di Malaysia iaitu ‘Senario’ yang dianggotai oleh Wahid, Azlee, Saiful Apek, Yasin, Ilya dan Hamdan.

Setiap daripada mereka turut mengundang selebriti pilihan mereka sendiri bagi memeriahkan lagi episod masing-masing. Antara selebriti undangan yang memeriahkan program ini adalah Erra Fazira, Ella, Stacy, Siti Nordiana, Indah Ruhaila, Misha Omar dan ramai lagi. Beberapa nama yang sudah lama berada dalam industri seni turut turun padang menyokong program ini seperti kumpulan yang popular dengan lagu Fiona; 4U2C, Datuk Zainal Abidin, Datuk Chef Wan dan Ramlah Ram.

Raqim menambah, “Walaupun Konsert Komedi tidak mempunyai format tetap dan memberi kebebasan penuh kepada barisan pemain komedi untuk mencorak persembahan mereka sendiri, kami tetap menitikberatkan kualiti program ini seperti juga penghasilan produk-produk komedi lain yang pernah kami tawarkan. Justeru itu, barisan pemain komedi yang menjayakan program ini bukan calang-calang orangnya. Mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam arena komedi di Malaysia dan populariti mereka tidak perlu disangkal lagi. Ada antara pemain komedi program ‘Konsert Komedi’ ini pernah menggondol beberapa anugerah yang menyanjung bakat seni mereka dan lebih membanggakan ada yang telah mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Berkecimpung dalam dunia komedi, kami mendapati pemain komedi merupakan individu yang sangat kreatif. Oleh itu, format yang diterapkan untuk program ‘Konsert Komedi’ ini memberi peluang kepada mereka untuk bebas berkarya. Kami percaya, magis berlaku apabila sesuatu perkara itu dibuat daripada hati yang ikhlas. Ada antara mereka yang menggunakan platform ini untuk menonjolkan diri mereka sebenar dan ada juga yang berkongsi mengenai minat dan kisah hidup mereka yang tidak diketahui oleh umum sebelum ini. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, program ini membawa kandungan eksklusif daripada pemain komedi popular.”

Ayuh kita saksikan program hiburan komedi terbaharu, ‘Konsert Komedi’ yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat mulai 12 Mei 2017 pada jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124). Siaran ini juga boleh dinikmati melalui platform Astro Go dan Astro On Demand. Selamat menonton!

 

# TAMAT #