Layan dulu ‘Sepi Tanpa Cinta di sooka First Access'
08
April
2022

Layan dulu ‘Sepi Tanpa Cinta di sooka First Access'

Kuala Lumpur, 8 April 2022 – sooka kini kembali lagi dengan, sooka First Access, yang akan menyajikan pengguna sooka dengan tayangan eksklusif drama-drama terbaru yang hanya boleh ditonton secara eksklusif di sooka, sebelum ianya ditayangkan di mana-mana platform hiburan tempatan yang lain.

Sempena pelancaran ini, sooka First Access memperkenalkan sebuah drama berasaskan adaptasi novel terlaris berjudul ‘Sepi Tanpa Cinta’, lakonan Nazim Othman, Yuna Rahim, Fauziah Nawi, Jiha Asham dan banyak lagi. Drama ‘Sepi Tanpa Cinta’ akan mula ditayangkan pada Jumaat, 8 April 2022 secara eksklusif di sooka, dan bonus buat pengguna sooka, 4 episod boleh ditonton pada minggu pertama dan 2 episod baharu akan dimuatnaik setiap minggu. 3 episod pertama dapat ditonton secara percuma di aplikasi, dan pengguna dapat menonton kesemua episod drama ekslusif ini dengan melanggan pakej sooka VIP Entertainment serendah RM15.90 sebulan.

“sooka sentiasa mencari cara untuk memperluaskan seleksi filem dan drama kami demi memenuhi kehendak pelanggan kami yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, terutama sekali golongan milenial. Melalui sooka First Access, penonton boleh menikmati penghasilan karya terbaru yang semestinya menerapkan elemen, citarasa, dan nilai lokal yang bersesuaian dengan minat dan pilihan mereka. sooka First Access merupakan karya pelbagai yangdisiarkan secara eksklusif di sooka dahulu, berbeza dengan sooka Originals. Kami amat percaya dan yakin bahawa karya yang akan kami bawakan ini pasti memenuhi citarasa penonton kami sekarang yang mengikuti kisah-kisah yang trending di sooka sekarang seperti Curi Curi Cinta, Mr. Grey dan sebagainya,” kata Ketua Rancangan sooka, Emarina Mohd Kamal.

Sebelum ini, pada Februari 2022, sooka telah pun melancarkan siri sooka Originals pertamanya, Love in Lockdown, lakonan Siti Saleha, Julia Farhana Marin, Shah Iskandar, Sara Mack Lubis dan Bella Rahim yang menceritakan kisah kehidupan harian yang dilalui oleh sebuah keluarga dan bagaimana mereka menyelesaikannya di kala pandemik.

sooka Originals merupakan seleksi siri-siri drama yang ditayangkan eksklusif di sooka atas kolaborasi antara sooka dengan produksi tempatan, dan drama-drama ini hanya boleh ditonton khas di sooka dengan melanggani pakej VIP Entertainment serendah RM15.90 sebulan sahaja.

DRAMA ‘SEPI TANPA  CINTA’

Drama bersiri adaptasi novel terlaris karya Damya Hana bertajuk Sepi Tanpa Cinta, terbitan Opera Klasik Sdn. Bhd. ini mengisahkan tentang Haziqah yang difitnah justeru ditinggalkan pada hari pernikahannya, dan Fakharul yang ditinggalkan oleh teman wanitanya yang memilih untuk menikahi orang lain. Keadaan memaksa mereka mendirikan rumah tangga tanpa rela, demi menjaga maruah keluarga Haziqah.

Permulaanya agak sukar bagi pasangan ini namun semakin lama cinta mula berputik apabila Fakharul mendapati Haziqah bukanlah seorang wanita seperti yang diperkatakan oleh orang kampung. Drama bersiri 20 episod ini diarahkan oleh sutradara terkenal Rashid Sibir, yang menggandingkan pelakon mantap seperti Yuna Rahim sebagai Haziqah, Nazim Othman sebagai Fakharul dan Fauziah Nawi sebagai ibu Haziqah.

Bagi Rashid Sibir, Pengarah drama Sepi Tanpa Cinta, “Drama ini mengisahkan remaja yang penuh konflik cinta, keluarga dan perkahwinan dania juga memberi mesej tentang kecekalan hidup. Di samping itu, keserasian gandingan Yuna dan Nazim dalam menjayakan watak Haziqah dan Fakharul juga wajib ditonton oleh peminat kedua-dua pelakon kerana kelainan yang dibawa. Yuna walaupun masih baru di dalam industri tetapi sudah pandai membentuk diri menjadi wanita kampung yang cekal dan Nazim pula sangat sesuai dalam memainkan wataknya sekarang.”

“Selain itu, terima kasih kepada pihak produksi kerana memberi peluang kepada saya untuk mengarah drama bersiri ‘Sepi Tanpa Cinta’ yang turut dibarisi oleh pelakon-pelakon berbakat yang lain seperti Fauziah Nawi dan Jiha Asham. Chemistry mereka sangat baik dengan Fauziah Nawi sebagai ibu kepada Haziqah dan Jiha sebagai Sue. Cerita ini juga memberi banyak pengajaran kepada pasangan muda, terutamanya yang baru mendirikan rumah tangga.”

“Akhir sekali, saya berharap agar peminat-peminat terus menyokong drama ‘Sepi Tanpa Cinta’ ini dan sudi menontonnya di sooka dan drama ini mendapat jumlah tontonan yang tinggi”, tambah Rashid.

Antara barisan pelakon dan WATAK DRAMA ‘‘SEPI TANPA  CINTA’’

1) Yuna Rahim sebagai Haziqah

2) Nazim Othman sebagai Fakharul

3) Fauziah Nawi sebagai Ibu Haziqah

4) Jiha Asham sebagai Sue

SINOPSIS DRAMA ‘‘SEPI TANPA CINTA’’

Semasa hari pernikahannya, tunang Ziqa tidak muncul mengakibatkan majlis mereka terpaksa dibatalkan kerana fitnah yang melampau terhadap kesuciannya. Sementara itu, Fakharul patah hati apabila teman wanitanya lari dan berkahwin dengan orang lain tanpa sebarang berita. Demi menjaga maruah kedua-dua keluarga, mereka dijodohkan secara paksa. Keadaan menjadi rumit pada mulanya apabila pada malam pertama, Fakharul meninggalkan Ziqa dan pulang ke Kuala Lumpur, membuatkan orang kampung lebih mempercayai fitnah tersebut. Ziqa dibawa ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama suaminya, dan Fakharul mula mengenali sisi sebenar Ziqa yang ternyata berbeza dari segala percakapan orang.