Neelofa & Dato’ Siti Nurhaliza Mendominasi Pencalonan ‘TOP 5’ AME 2017
Neelofa & Dato’ Siti Nurhaliza Mendominasi Pencalonan ‘TOP 5’ AME 2017
03
April
2017

Neelofa & Dato’ Siti Nurhaliza Mendominasi Pencalonan ‘TOP 5’ AME 2017

Senarai penuh calon ‘Top 5’ bagi 17 kategori pencalonan yang dipertandingkan untuk anugerah pilihan penonton, Anugerah MeleTOP ERA (AME) 2017 yang kembali serba mantap dengan tema ‘Bergabung Lebih MeleTOP’ untuk penganjuran edisi keempat telah diumumkan sewaktu majlis sidang akhbar yang diadakan.

Pelakon dan pengacara popular, Neelofa menguasai senarai calon akhir AME 2017 dengan lima pencalonan daripada 17 kategori yang dipertandingkan pada tahun ini.

Neelofa dicalonkan dalam kategori ‘Hos MeleTOP’, ‘Fesyen MeleTOP’, ‘Bintang Online MeleTOP’, ‘Pelakon TV MeleTOP’ dan ‘Program MeleTOP’ menerusi rancangan Taste Selebriti (Episod Neelofa).

Dato’ Siti Nurhaliza juga turut terpilih dengan empat pencalonan untuk dua kategori individu iaitu ‘Penyanyi MeleTOP’ dan ‘Bintang Online MeleTOP’ selain pencalonan bersama Faizal Tahir menerusi kategori ‘Grup/Duo MeleTOP’ dan ‘Program MeleTOP’ untuk rancangan Super Spontan All Star (Episod Dato’ Siti Nurhaliza).

Pemenang kategori ‘Top Top MeleTOP’ tahun lalu, Ayda Jebat dan Johan masih menjadi pilihan peminat dan kembali tercalon apabila turut mendominasi senarai ‘Top 5’ AME 2017. Masing-masing dengan tiga pencalonan selain nama-nama besar seperti Fattah Amin dan Syamsul Yusof.

Lebih mengujakan, senarai ‘Top 5’ AME 2017 tahun ini turut menyaksikan pencalonan muka baharu antaranya Aiman Tino, Alvin Chong, Khai Bahar, Vivy Yusof selain Lara Alana dan Aaisyah Dhia Rana menerusi kategori baharu ‘Si Cilik MeleTOP’ yang buat julung kali dipertandingkan pada tahun ini.

*Sila rujuk Lampiran untuk senarai penuh calon ‘Top 5’ bagi setiap kategori

Mengulas lanjut tentang penganjuran AME 2017, Ketua Format Dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris cukup terharu dengan sokongan luar biasa yang diterima untuk edisi tahun ini. Jumlah peratusan undian yang diterima untuk fasa pertama secara keseluruhan juga meningkat secara mendadak dengan lebih 250% berbanding tahun lalu.

“Selaku anugerah pilihan penonton, penganjuran AME bukan sekadar mengiktiraf penggiat seni tanah air, sebaliknya ia menyerahkan seratus peratus kuasa kepada peminat untuk memilih artis pujaan masing-masing sebagai pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Peningkatan yang memberangsangkan ini jelas membuktikan bahawa penganjuran AME adalah relevan dan menjadi pencetus perubahan dalam evolusi dunia hiburan tanah air.

Perubahan bentuk komunikasi pengguna masa kini yang menjadikan penggunaan media digital atau interaktif sebagai medium komunikasi utama juga dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada peningkatannya. Ini disebabkan medium untuk menghantarkan undian bagi fasa pertama dilakukan sepenuhnya secara ‘online’.”

Senarai lima calon akhir untuk 17 buah kategori telah disenarai pendek berdasarkan undian oleh orang ramai sewaktu pusingan fasa pertama yang dibuka sejak 21 Februari 2017 hingga 19 Mac yang lalu. 

Talian undian untuk Fasa Kedua bagi menentukan pemenang akhir untuk setiap kategori boleh mula dihantar menerusi laman web rasmi di www.anugerahmeletopera.com.my dan www.era.fm, aplikasi ERA dan Raku ataupun melalui kiriman SMS bermula 28 Mac 2017 hingga 23 April 2017.

Pemenang untuk kategori ‘Top Top MeleTOP (Lelaki)’ dan ‘Top Top MeleTOP (Wanita)’ pula akan dipilih berdasarkan selebriti lelaki dan wanita yang menerima jumlah undian tertinggi dalam kalangan calon lima terbaik, menjadikan jumlah keseluruhan kategori yang dipertandingkan ialah sebanyak 19 buah kategori.

Pemenang bagi setiap kategori juga bakal membawa pulang hadiah wang tunai yang berjumlah RM5,000.00 beserta sebuah trofi sumbangan Astro.

Pemenang untuk setiap kategori akan diumumkan sewaktu siaran langsung malam AME 2017 kelak. Setiap undian yang dihantar haruslah diterima dalam tempoh masa yang telah. ditetapkan.

Bertemakan ‘Bergabung Lebih MeleTOP’, AME 2017 akan dipancarkan secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam pada hari Ahad, 23 April 2017, jam 9.00 malam dan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan siaran serentak di Astro Ria HD (123). Siaran ini turut boleh dinikmati menerusi perkhidmatan Astro on the Go (AOTG) dan Astro On Demand.

Mengulas mengenai kelainan yang akan ditampilkan untuk malam kemuncak AME 2017, Namanzee turut mengakui bahawa segala perancangan dan penelitian sudahpun memasuki fasa terakhir bagi memastikan anugerah berprestij ini berlangsung penuh gemilang.

Bagi meletakkan jenama AME sebagai penanda aras kepada penganjuran acara anugerah industri hiburan berprestij di Malaysia, kami telah menyusun strategi yang terbaik untuk menyemarakkan lagi pesona malam kemuncak. Pelbagai kejutan yang merangkumi kriteria pemilihan pengacara, penyampai trofi dan barisan artis popular yang bakal membuat persembahan istimewa pada malam itu telah disusun rapi.

Antara nama-nama besar yang bakal membuat persembahan pada malam kemuncak AME 2017 kelak termasuklah Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow, Ayda Jebat, Faizal Tahir serta ramai lagi.

Demi mengangkat tema ‘Bergabung Lebih MeleTOP’, tema ini perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan perspektif, justeru penganjuran AME 2017 akan dipenuhi dengan elemen yang menyokong tema yang dipilih. 

Bagi menghargai para peminat, kami juga akan turut melancarkan muzik video terbaharu untuk lagu tema AME 2017 yang dinyanyikan oleh penyanyi bersuara gemersik Syamel.”

Dalam usaha meneruskan kesinambungan penganjuran tahun lalu, AME 2017 juga tidak ketinggalan untuk meningkatkan usaha murni aktiviti kemasyarakatan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial untuk tahun ini.

Bersempena dengan bulan kesedaran Autisme yang disambut di seluruh dunia pada bulan April setiap tahun, AME 2017 dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) akan menyokong acara ‘The Rock Walk 2017’ yang akan berlangsung pada 15 April 2017 bermula pada pukul 7.30 pagi di Evolve Concept Mall, Ara Damansara. Acara amal anjuran NASOM dan ‘We Rock The Spectrum Kids Gym’ ini bertujuan untuk memupuk kesedaran autisme di kalangan masyarakat selain merupakan sebahagian daripada usaha mengumpul dana untuk membantu golongan ‘Autism’.

Mengulas lanjut tentang rangka promosi penganjuran AME 2017, Pengurus Kandungan ERA fm, Dhan Andreas turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai untuk peraduan ‘Suara AME 2017’. Kami menawarkankan hadiah wang tunai RM400 untuk setiap pemenang yang berjaya meneka suara para selebriti yang juga merupakan calon-calon akhir AME 2017 dengan menyebut satu persatu huruf ‘A, M, E, 1 dan 7’.

Penyampai bertugas akan memainkan suara tiga selebriti berbeza dengan menyebut huruf  ‘A, M, E’ dengan pelbagai gaya. Selain itu, kami turut menampilkan calon-calon ‘Top 5’ AME 2017 ke studio untuk sesi temubual bersama penyampai yang bertugas. Kesemua inisiatif ini juga merupakan sebahagian rangka promosi ERA fm sempena AME 2017 yang  bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bagi memberi kelainan untuk merancakkan lagi penganjuran tahun ini, pelawak popular yang juga merupakan penyampai Radio Era FM, Johan telah dilantik sebagai hos bersama yang bakal mengendalikan malam kemuncak AME 2017 bersama-sama Nabil Ahmad dan Neelofa.

Sebelum ini beliau pernah diberi mandat yang sama sewaktu penganjuran AME 2015. Pengalaman beliau mengendalikan majlis dalam skala yang besar tidak perlu dipertikaikan berdasarkan prestasi yang telah dipamerkan sebelum ini. Oleh itu, kami percaya gandingan hos utama untuk menerajui pentas AME tahun ini mampu memberikan impak paling ‘meletop’ buat penonton.

Selain itu, penyampai radio Era FM, Radin serta pelawak popular Fad Bocey juga turut dilantik sebagai hos untuk acara Karpet MeleTOP.

Sementara itu, pihak Astro dan radio ERA fm turut mengalu-alukan kehadiran Aurawhite Global Sdn Bhd yang menghulurkan sokongan selaku penaja utama dan GRAB selaku penaja kenderaan rasmi untuk menjayakan pengajuran AME 2017.