Pemain OKU Curi Tumpuan Dalam Perlawanan Persahabatan THR Gegar dan UITM United II
SHAH ALAM 16 JULAI 2026– THR Gegar terus mendekati komuniti menerusi sukan apabila menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak menentang UITM United II dalam suasana penuh meriah dan semangat kesukanan bertempat di Padang Turf UiTM Shah Alam.
Pasukan THR Gegar dibarisi penyampai popular stesen itu iaitu Issey, Fizie, Shah, Ewan dan Aswad, selain turut diperkuatkan oleh selebriti terkenal seperti Eric Floor 88, Akram Floor 88, Syamel, Rahim Hakem dan Andyoso.
Perlawanan ini turut mencuri perhatian apabila menampilkan dua pemain daripada Malaysia Amputee Football Association (MAFA), iaitu Muaz dan Najmi, yang beraksi bersama pemain lain bagi mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam sukan bola sepak.
Menurut Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin, perlawanan tersebut bukan sahaja diadakan untuk menyemarakkan semangat festival bola sepak dunia, malah menjadi platform untuk mengetengahkan bakat pemain OKU kepada masyarakat.
“THR Gegar berbangga dapat memberi peluang kepada Muaz dan Najmi untuk beraksi bersama pemain lain. Kami mahu masyarakat melihat sendiri bahawa mereka mempunyai bakat, kemahiran dan semangat juang yang tinggi dalam sukan bola sepak. Perlawanan ini membuktikan bahawa sukan mampu menyatukan semua tanpa mengira latar belakang atau kekurangan fizikal,” katanya.
Dalam perlawanan yang berlangsung sengit itu, pasukan UITM United II, yang rata-rata dibarisi pemain dari Pantai Timur, berjaya menewaskan THR Gegar dengan keputusan 7-6.
Walaupun keputusan memihak kepada UITM United II, objektif utama program ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara pendengar THR Gegar, pelajar UiTM, selebriti dan komuniti setempat.
“Menang atau kalah bukan perkara utama. Apa yang lebih penting adalah hubungan yang terjalin antara pendengar, pelajar UiTM dan barisan selebriti yang turut sama memeriahkan program ini. Kami gembira melihat semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh semua pihak,” tambah Azah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan, khususnya Pengelola Kandungan THR Gegar, Nik Faris Nek Hassan, yang menjadi antara individu penting di sebalik penganjuran perlawanan tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nik Faris Nek Hassan yang bersungguh-sungguh memastikan perlawanan persahabatan ini dapat direalisasikan dan berjalan lancar. Terima kasih juga kepada pasukan UITM United II, para pemain, selebriti, pemain MAFA serta semua penyokong yang hadir memeriahkan acara ini,” katanya.
Azah berkata, melihat kepada sambutan yang diterima, THR Gegar bercadang untuk meneruskan penganjuran aktiviti serta perlawanan persahabatan seumpama ini pada masa akan datang kerana ia memberi impak positif kepada semua pihak.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan antara komuniti, institusi pendidikan dan industri hiburan,” katanya.
THR GEGAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, THR GEGAR menampilkan lagu-lagu pilihan dari Pantai Timur, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Permata Pantai Timur. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti THR GEGAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
THR GEGAR – Permata Pantai Timur.