Pencarian Dewi Remaja Kembali, Mahkota Edisi Ke-10 Menanti 12 Finalis!
Pencarian Dewi Remaja Kembali, Mahkota Edisi Ke-10 Menanti 12 Finalis!
17
October
2019

Pencarian Dewi Remaja Kembali, Mahkota Edisi Ke-10 Menanti 12 Finalis!

‘Pencarian Dewi Remaja’ kini kembali dengan misi utama mencari seorang personaliti remaja yang boleh dijadikan contoh terbaik khususnya untuk generasi muda hari ini. Hadir dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, Dewi Remaja bukan sahaja mencari sekumpulan gadis remaja yang memiliki pakej rupa paras dan fizikal yang positif, ia juga menjadi platform untuk mengangkat bakat, versatiliti dan personaliti menarik; sekaligus meneruskan legasi yang dijayakan oleh peserta Dewi Remaja terdahulu.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1985, selepas 34 tahun, Dewi Remaja merupakan satu jenama yang cukup kukuh dalam industri penerbitan tanah air, yang mana kini turut sama memeriahkan industri seni negara. Banyak nama-nama hebat dilahirkan dari program pencarian bakat anjuran Remaja, salah satu jenama di bawah Nu Ideaktiv (sebelum ini dikenali dengan nama Grup Majalah Karangkraf), dan rata-rata diangkat menjadi ikon kepada ramai di luar sana.

Di antaranya termasuklah Aleeza Kassim (Dewi Remaja 1987/88), seorang model terkemuka tanah air dan di pentas peragaan jenama-jenama antarabangsa, Scha Al-Yahya (Dewi Remaja 2005/06) yang kini merupakan pelakon ‘kelas-A’ yang begitu versatil dan popular serta Noor Neelofa (Dewi Remaja 2009/10) atau lebih dikenali dengan Neelofa, seorang pengacara, pelakon, model, ahli perniagaan berjaya dan salah seorang dalam kalangan 300 individu yang tersenarai di ‘Forbes 30 Under 30 Asia 2017’. Bermula dengan kemenangan Tengku Anis Tengku Ismail bagi edisi Dewi Remaja 1985/86 sehinggalah kepada kemenangan Raysha Rizrose bagi edisi Dewi Remaja 2014/2015, telah sembilan Dewi Remaja dimahkotakan.

Namun begitu, pada tahun lalu, insiden disiplin dan kontroversi yang berlaku di kalangan peserta telah menyebabkan Astro selaku penganjur bersama dan Nu Ideaktiv menarik semula mahkota Dewi Remaja 2018 dari pemenang utama. Justeru, penganjuran tahun ini adalah untuk mencari semula gadis yang bakal dimahkotakan seterusnya diangkat sebagai ‘Dewi Remaja 2019’ dan memiliki gelaran tersebut bagi edisi yang ke-10 ini. Mengulas lanjut mengenai penganjuran Dewi Remaja kali ini, Emarina Mohd Kamal selaku Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama strategik bersama Nu Ideaktiv yang sudahpun memasuki edisi keempat sejak Pencarian Dewi Remaja 2009/2010.

“Menyingkap kembali sejarah penganjuran Dewi Remaja edisi pertama lebih tiga dekad yang lalu, jenama dan legasi Dewi Remaja terbukti telah membawa impak dan sumbangan yang besar kepada industri hiburan kerana berjaya melahirkan ramai nama-nama besar menerusi pertandingan ini. Walaupun terpalit dengan sedikit kontroversi ketika penganjuran Dewi Remaja tahun lalu, ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus mencari pemilik mahkota edisi ke-10 ini. Pengaruh Dewi Remaja dilihat terus kukuh sebagai platform berprestij untuk mengenal pasti bakat-bakat besar dengan pakej komersial yang lengkap. Selaku penganjur bersama, usaha sebegini perlu diberi kredit dan sokongan yang sewajarnya kerana ia memainkan peranan penting untuk melahirkan lebih ramai pelapis kepada selebriti serba boleh yang sedia ada. Semoga pencarian edisi ini mampu meneruskan legasi penganjuran tahun-tahun terdahulu.”

Menurut Fiezreen Ahmad selaku Editor Pengurusan Remaja, buat pertama kalinya penganjuran ‘Dewi Remaja’ memperkenalkan kategori ‘Pengetahuan Am’ sebagai salah satu kriteria pemarkahan peserta. “Di antara perbezaan ketara yang ditampilkan dalam edisi kali ini adalah dari aspek pemarkahan juri. Ada 3 segmen utama yang dititikberatkan ketika sesi penjurian peserta. Buat julung kalinya, kami menyuntik elemen pengetahuan am sebagai salah satu elemen utama dalam memilih peserta yang disenarai pendek. Kami merasakan, elemen ini penting untuk membuktikan setiap peserta yang dipilih sebagai finalist memiliki pakej yang menyeluruh, terutamanya dari aspek personaliti dan latar belakang akademik. Mereka perlu peka dengan hal-hal semasa yang berlaku baik dalam mahupun luar negara, serta berkebolehan untuk berkongsi buah fikiran dalam sesuatu isu. Penilaian bukan sahaja dilihat dari bakat, potensi dan pengetahuan am, malah personaliti dan cara mereka mempersembahkan diri juga menjadi satu kriteria penting. Justeru, kami di bahagian produksi meletakkan peratusan berikut untuk sistem pemarkahan juri – 30 peratus (personaliti), 35 peratus (bakat) dan 35 peratus (pengetahuan am).”

Menerima hampir 600 penyertaan (lebih dari jumlah tahun lalu seramai 457 peserta), sesi uji bakat terbuka yang diadakan selama empat hari pada September lalu di Shah Alam telah menyaksikan nama-nama hebat industri di posisi juri, seperti pengacara tersohor tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi, barisan pelakon wanita popular yang sebelum ini turut pernah menjadi sebahagian dari keluarga Dewi Remaja seperti Rozita Che Wan, Anzalna Nasir, Ramona Zam Zam dan Dynaz Mokhtar serta penyanyi, pelakon dan pengarah filem hebat, Yusry Abdul Halim.

Seramai 20 orang calon peserta Dewi Remaja telah terpilih untuk saringan akhir seperti yang telah diumumkan. Walau bagaimanapun, hanya 12 orang sahaja yang akan memenuhi slot selaku finalis. Pakej komersial lengkap yang merangkumi latar belakang menarik, persona dan potensi yang mereka miliki bakal menjadikan penganjuran kali ini sebagai antara edisi paling menarik untuk diikuti.

12 finalis ‘Pencarian Dewi Remaja 2019’ yang berjaya diserap masuk adalah ANDRIANNA FERNANDEZ (19, Kuala Lumpur), SHAZA NURIMAN (24, Kuala Lumpur), NYNAA HARIZAL (23, Selangor), SHARLINA GILBERT (23, Sabah), MYRA NATASHA (24, Selangor), SYAMIRA IZZATI (22, Selangor), SAIDAH SYAHIRAH (23, Selangor), ADRIANA GHAFAR (21, Johor), SYAZA AZRA (19, Negeri Sembilan), SHATIRAH AMANDA (19, Kelantan), NINA AMIN (23, Selangor) dan AISHAH AZHAN (24, Selangor).

Melalui paparan 8 episod (berdurasi satu jam setiap episod), program ‘Dewi Remaja 2019’ akan menampilkan pemenang Dewi Remaja 2005/2006, Scha Al-Yahya sebagai Juri Tetap. Ini merupakan kerjasama ketiga berturut-turut di antara Scha dan pihak produksi Remaja, yang mana dalam dua edisi pertama, Scha menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program, masing-masing untuk ‘Pencarian Hero Remaja 2017’ dan ‘Pencarian Dewi Remaja 2018’.

Scha akan digandingkan bersama penyanyi, pelakon, produser dan pengarah filem hebat, Yusry Abdul Halim. Pemilihan Yusry dibuat selepas mengambil kira pengalaman beliau di dalam pelbagai cabang seni dan kebolehan beliau menggilap bakat-bakat baru untuk menghiasi persada seni tanah air. Dalam pada itu, pelakon, pengacara, model dan personaliti jelita, Amelia Henderson dipilih sebagai pengemudi utama (pengacara) bagi ‘Dewi Remaja 2019’.

Pemilihan Amelia dibuat selepas melihat kepada gaya bersahaja dan kreativiti beliau ketika mengacarakan sesebuah program atau majlis-majlis rasmi / santai. Bakat beliau turut diiktiraf apabila dipilih sebagai penerima anugerah Star Model 2019 di majlis Anugerah Festival Model Asia (ke-14) 2019 bagi kategori Malaysia. Selain daripada paparan di layar kaca, program pencarian ini turut mendapat liputan menyeluruh dan terkini melalui laman digital serta sosial media Majalah Remaja.

Melalui paparan video yang menampilkan pengacara digital Safwan Nazri, penonton dan pengikut setiap peserta dapat menonton perjalanan para peserta, juri dan aktiviti yang berlangsung secara pantas.

Program ‘Dewi Remaja 2019’ akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mulai 26 Oktober 2019. Dalam pada itu, penganjuran edisi terbaharu juga turut meraikan kehadiran para penaja yang akan mewarnai lagi intipati dan cabaran sepanjang berlangsungnya Dewi Remaja 2019.

Kami membuka pintu seluasnya kepada jenama telekomunikasi redONE yang hadir sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi. Selain itu, program ini turut diserikan oleh NUViT, selaku Penaja Bersama.

Bagi mengikuti info terbaru mengenai program Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 pula, kunjungi laman web www.remaja.my/dewi, Facebook [dewiremaja] dan Instagram [majalahremaja].


Hashtag:

#majalahremaja

#dewiremaja2019

#dewiremaja

#remaja