KUALA LUMPUR, 15 Jun 2026 – Pengurus Jenama THR Gegar, Azah Sahrin, menzahirkan rasa bangga dan penghargaan tinggi atas kejayaan penyampai Bro Pagi Gegar, Issey, yang dinobatkan sebagai Penyampai Radio Terbaik Kategori Swasta sempena Sambutan Hari Wartawan Peringkat Negeri Kelantan baru-baru ini.
Menurut Azah Sahrin, kemenangan tersebut bukan sahaja mencerminkan bakat, dedikasi dan konsistensi Issey dalam menyampaikan kandungan berkualiti kepada pendengar, malah turut memperkukuhkan kedudukan THR Gegar sebagai stesen radio pilihan utama.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian Issey yang berjaya meraih pengiktirafan ini. Ia adalah hasil usaha keras, kreativiti serta komitmen beliau dalam memberikan yang terbaik kepada pendengar setiap hari,” katanya.
Tambah beliau lagi, anugerah tersebut diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh barisan penyampai THR Gegar untuk terus meningkatkan prestasi dan kekal relevan dalam industri penyiaran.
“Kejayaan ini bukan hanya milik individu, tetapi juga inspirasi kepada semua penyampai dan warga kerja THR Gegar untuk terus bekerja lebih gigih demi memenuhi jangkaan serta kepercayaan pendengar setia kami,” ujarnya.
Issey menerima wang tunai berjumlah RM1,000 berserta plak penghargaan hasil kemenangan tersebut.
Sebanyak 91 pencalonan telah diterima sepanjang tempoh penyertaan dari 10 hingga 14 Mei lalu, melibatkan sembilan kategori dalam bidang akhbar, televisyen, fotografi dan radio. Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah Berita Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik, Berita Akhbar Bukan Bahasa Melayu Terbaik, Berita TV Terbaik, Laporan Khas TV Terbaik, Visual TV Terbaik, Gambar Berita Terbaik, Penyampai Radio Kerajaan Terbaik serta Penyampai Radio Swasta Terbaik, yang melibatkan hasil siaran sepanjang tahun 2025.
THR Gegar komited untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi serta menghiburkan, sejajar dengan aspirasi untuk kekal sebagai peneraju radio nombor satu di Pantai Timur.
THR GEGAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, THR GEGAR menampilkan lagu-lagu pilihan dari Pantai Timur, menjadikannya stesen radio nombor satu di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Permata Pantai Timur. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti THR GEGAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
THR GEGAR – Permata Pantai Timur.


%201.png)

