KUALA LUMPUR 26 JANUARI 2026– SINAR meneruskan komitmennya dalam memperkasa industri penyiaran tanah air melalui penganjuran Penyampai Emas SINAR 2026, sebuah program unik yang direka untuk mencari bakat baharu dalam dunia penyampai radio. Program ini bertujuan mencungkil individu berbakat yang mempunyai suara, personaliti dan kreativiti untuk menjadi penyampai radio profesional, sambil memberi peluang sebenar kepada khalayak berusia 35 tahun ke atas untuk bersinar dalam kerjaya penyiaran.
Tahun ini, pertandingan menampilkan enam finalis terbaik yang telah dipilih daripada ratusan penyertaan seluruh negara, iaitu:
Soraya Borhan, Faqhiz, Ady Kamal, Bobo, Rai Rahim dan Karl Shafek.
Kesemua peserta telah melalui sesi uji bakat, tugasan rakaman, serta cabaran siaran yang menguji kepetahan, kawalan suara, spontan dan daya tarikan mereka sebagai penyampai radio.
Barisan Juri Berpengalaman & Berkredibiliti
Peringkat akhir diserikan dengan kehadiran panel juri profesional yang berpengaruh dalam industri penyiaran dan hiburan Malaysia, terdiri daripada:
Kudsia Kahar – Pengarah Urusan & Pengasas Bersama, Metamorfosa
Pak Tam – Bekas Penyampai Radio
Priya – Pengarah Astro Audio
Zureen Affendi – Pengurus Jenama SINAR
Panel juri ini menilai peserta melalui aspek komunikasi, kekuatan personaliti, laras suara, kreativiti konten serta karisma keseluruhan yang diperlukan untuk menggalas tugas penyampai radio profesional.

Hadiah & Pengiktirafan
Setiap finalis membawa pulang hadiah wang tunai, manakala juara dinobatkan sebagai Penyampai Emas Sinar 2026. Pecahan hadiah adalah seperti berikut:
Tempat Pertama: RM5,000 + Trofi - Soraya Borhan
Tempat Kedua: RM3,000 – Karl Shafeek
Tempat Ketiga: RM1,000 – Ady Kamal
Tempat Keempat: RM500 – Fakhis
Tempat Kelima: RM500 – Rai Rahim
Tempat Keenam: RM500 - Bobo
Kenyataan Pengurus Jenama Sinar, Zureen Affendi
Pengurus Jenama Sinar, Zureen Affendi, menegaskan bahawa Penyampai Emas Sinar merupakan platform penting dalam memperluaskan peluang kepada masyarakat umum, terutamanya individu berusia 35 tahun ke atas yang sering memendam impian untuk menjadi penyampai radio.
“Penyampai Emas SINAR adalah satu inisiatif terbaik yang kami bangunkan untuk memberi peluang kepada orang ramai yang berminat menjadi penyampai radio, khususnya mereka yang berusia 35 tahun ke atas. Ramai yang mempunyai suara dan bakat luar biasa tetapi tidak pernah diberi ruang untuk mencuba dalam industri penyiaran yang biasanya didominasi golongan muda.
Dengan program ini, kami mahu menunjukkan bahawa bakat tidak mengenal umur. Apa yang penting ialah semangat, personaliti dan keaslian yang mampu menyentuh hati pendengar. Kami percaya lebih ramai bakat matang dapat diketengahkan melalui platform ini dan seterusnya memeriahkan dunia radio negara.”
Penyampai Emas SINAR bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan usaha berterusan SINAR untuk memberi peluang kepada masyarakat menyertai dunia penyiaran yang sebenar. Pemenang bukan sahaja berpeluang menjadi wajah baharu SINAR, malah menerima pendedahan, latihan serta pengalaman bersama pasukan profesional radio.
SINAR yakin platform ini akan terus berkembang dan menjadi medan inspirasi kepada lebih ramai generasi dewasa untuk mengejar cita-cita dalam industri kreatif dan hiburan.
SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90-an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.
Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
SINAR – Muzik Retro Terbaik.


%201.png)

