Perak Bakal Buka Tirai Gelanggang Emas Anuar STL 22/23
18
May
2023

Perak Bakal Buka Tirai Gelanggang Emas Anuar STL 22/23

STL Challenge Cup bakal menghangatkan pertarungan STL edisi ke-9

Pemburuan kejuaraan sukan warisan diteruskan buat kesekian kalinya menyaksikan buat julung kalinya Kuala Kangsar, Perak menjadi gelanggang pertama dari luar lembah klang yang akan membuka tirai bermula 26 Mei hingga 5 August 2023 nanti.

Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak akan menjadi venue baru pertarungan memburu pengiktirafan pada minggu pertama, diikuti Spice Arena, Pulau Pinang pada minggu kedua dan jelajah seterusnya Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pula menjadi negeri dan gelanggang baru untuk minggu ketiga. Minggu keempat dan berikutnya pula Emas Anuar STL akan kembali ke Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk mengakhiri saingan selama 8 minggu.

Sementara itu, Iskandar Malaysia Studio, Johor kekal menjadi pentas persaingan antarabangsa untuk STL Champion Cup yang akan bermula pada 30 Julai 2023.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Emas Anuar STL menjadi medan mencungkil bakat baru dalam kalangan generasi muda, selain telah melahirkan ramai pemain-pemain berkualiti dan berkaliber yang telah berjaya mengharumkan nama di Sukan Sea, Kemboja baru-baru ini. Hampir kesemua pemain sepak takraw negara yang beraksi di temasya kali ini adalah dari pemain-pemain STL.

“Skuad negara telah berjaya membawa pulang 4 perak dan 4 gangsa buat negara, semangat dan peningkatan permainan yang ditunjukkan membuktikan skuad negara bukanlah lawan yang mudah. Saya yakin liga berkualiti seperti STL adalah platform terbaik untuk pendedahan pemain sebelum beraksi diperingkat kebangsaan”.

“Saya berharap usahasama Astro dan tampok kepimpinan baharu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam memacu jenama STL untuk mengangkat martabat seni sukan warisan ini akan terus diperkasakan serta memberi inspirasi kepada golongan pelapis yang akan menyambung legasi sukan ini sehingga ke persada sukan serantau dan antarabangsa”.

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, Astro kekal komited dalam melestarikan sukan ini dan akan membawa jenama STL menembusi pasaran luar negara dan perundingan masih dijalankan untuk berkolaborasi bersama syarikat penyiaran antarabangsa lain untuk menyiarkan STL di beberapa buah negara serantau seperti Thailand dan Indonesia.

“Keunikan sukan sepak takraw dan fenomena STL membuatkan ramai peminat-peminat yang ternanti-nanti liga kompetitif ini setiap tahun, bukan hanya peminat tempatan malah peminat dari negara-negara jiran”.

“Peningkatan jumlah tontonan pula meningkat bukan hanya di kaca televisyen dengan kenaikan hampir 5 juta tontonan malah turut meledak di platform digital menerusi aplikasi penstriman Astro Go sebanyak 2.6 juta dan 800 ribu tontonan di Sooka”.

“Bergerak seiring dengan perkembangan trend digital secara global, Emas Anuar STL telah mempertingkatkan kandungan media sosialnya dan mencatat 24.6 juta capaian tontonan pada musim lalu. Menerusi meningkatan rating ini membuktikan jenama STL bukan hanya berkembang diperingkat domestik malah semakin berkembang di negara serantau dan antarabangsa dengan perkongsian video-video aksi STL sehingga menjadi viral”.

Jelasnya lagi, sambutan amat memberangsangkan apabila pertama kali STL Fantasy League telah diperkenalkan dimana seramai 7 ribu peserta telah menyertainya. Beliau yakin penyertaan perserta baru yang ingin mencuba menjadi pengurus STL Fantasy League akan bertambah pada tahun ini sekaligus merebut peluang memenangi barangan tajaan daripada Emas Anuar.  Peminat boleh melayari stadium.astro.com untuk pendaftaran bermula pada 22 Mei 2023 nanti.

Nicholas juga turut berterima kasih atas sokongan penaja yang meneruskan sokongan dan ini adalah tahun kedua Emas Anuar menjalin kerjasama menjadi penaja Utama Rasmi STL 22/23. Antara penaja lain yang kekal komited menjadi rakan penaja termasuk Li-Ning yang sudah memasuki musim ke enam sebagai Penaja Pakaian Rasmi STL dan Idemitsu pula sebagai Penaja Minyak Pelincir Rasmi STL selama empat musim berturut-turut. Selain itu, Zayyan FM kekal sebagai Radio Rasmi dan kolaborasi pertama kali Sinar FM pada edisi kali ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, selain kehadiran pemain import paling ramai musim ini, persaingan STL akan akan lebih menarik dan penuh dramatik buat 10 pasukan berentap dimana STL Challenge Cup akan diperkenalkan pada musim ini.

“Jika sebelum ini dalam aksi Liga Premier, kita sudah boleh menjangka pasukan mana yang akan menjulang kejuaraan tetapi menerusi STL Challenge Cup yang pertama kali diperkenalkan ini akan menampilkan 4 pasukan teratas dari STL Premier pula akan berentap di dalam pusingan kalah mati. Tujuan kejuaraan ini diperkenalkan bagi memastikan debaran dan kerancakan aksi STL berterusan”.

“Sebelum ini STL dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemain import dari Thailand namun musim ini terdapat juga pemain dari Indonesia akan turun beraksi menyaksikan seramai 13 pemain import musim ini. Sementara itu, STL Champion Cup pula akan gamat dengan penyertaan pasukan jemputan antarabangsa dari Thailand, Korea, Indonesia dan Filipina,”katanya.

Rekod pada musim lalu menyaksikan ATM Guardian muncul juara merampas kejuaraan daripada juara bertahan Kuala Lumpur Thunder, namum pasukan dari ibu kota itu berjaya mempertahankan kejuaraan mereka di STL Champion Cup.  Sementara Melaka Titans pula muncul juara saingan STL divisyen 1.

Emas Anuar STL 22/23 merangkumi saingan STL Premier, STL Challege Cup, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup – sebanyak 10 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan 10 pasukan di  STL Divisyen 1, manakala STL Champions Cup bakal menghimpunkan 4 pasukan teratas dari STL Premier dan 4 pasukan jemputan antarabangsa.

Peminat boleh membeli tiket yang boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my bermula esok pada 19 May 2023.

Saksikan Emas Anuar STL 22/23 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad serta PM bersama AM setiap Rabu jam 10.30mlm di Astro Arena saluran 801 atau layari aplikasi Astro Go.