‘Suara Viral’ ialah sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian terbitan Astro Prima menampilkan barisan pelantun suara bekerjaya yang pernah tular dalam bidang masing-masing di Malaysia menerusi platform media sosial.Seramai 10 peserta yang terdiri daripada enam peserta lelaki dan empat peserta wanita bakal bersaing di pentas utama ‘Suara Viral’ selama lapan minggu untuk musim yang pertama. Format penjurian adalah berdasarkan sistem pecahan pemarkahan 70% oleh barisan juri profesional di studio dan 30% oleh ‘Juri Duduk Rumah’ iaitu juri virtual yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima berkata: “Berdasarkan pengalaman luas Astro sebagai pembekal kandungan utama di Malaysia, kami mendapati penonton cenderung kepada program-program yang berkonsepkan realiti dan pertandingan. Dalam pada itu, cukup jelas bahawa trend masa kini mempunyai nilai kebergantungan yang tinggi kepada elemen yang bersifat tular. Kami menyambut baik perkembangan ini kerana ia secara tidak langsung turut mengubah nilai komersial kandungan yang ditawarkan. Justeru, kami ingin melakar inisiatif baharu dengan mengangkat bakat yang sebelum ini sekadar tular di platform media sosial dan tular dalam bidang pekerjaan masing-masing ke skala yang lebih besar di platform televisyen pula. Menerusi ‘Suara Viral’, para peserta diberi peluang untuk mempamerkan bakat dan kreativiti masing-masing yang selama ini mungkin hanya dipertontonkan di alam maya ke alam sebenar. Program ‘Suara Viral’ bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program-program sedia ada yang pernah diterbitkan sebelum ini dan kami berharap ia bakal menjadi sebuah lagi testimoni cemerlang untuk saluran Astro Prima dalam menawarkan program-program hiburan beraneka format khusus untuk tontonan seisi keluarga. Untuk makluman, jika mengikut perancangan asal program ‘Suara Viral’ sepatutnya disiarkan secara langsung. Namun, bagi mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam usaha mengekang wabak Covid-19, program ini hanya akan diteruskan dengan rakaman awal tanpa melibatkan kehadiran penonton di studio. Di kesempatan ini, kami juga ingin tegaskan bahawa pihak Astro Prima dan produksi ‘Suara Viral’ sentiasa mengutamakan keselamatan semua pihak yang terlibat sepanjang penerbitan program ini.”
Trivia Menarik Suara Viral
1. Penerbitan ‘Suara Viral’ turut disokong oleh Nivea selaku Penaja Utama untuk musim pertama. Manakala aplikasi Astro Go dan portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. SINAR juga turut hadir sebagai Rakan Radio Rasmi.
2. Buat pertama kali, dua penyanyi popular tanah air dengan latar belakang portfolio seni yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air iaitu Misha Omar dan Akim Ahmad bakal digandingkan bersama sebagai Juri Tetap ‘Suara Viral’
3. Sementara itu, seorang Juri Otai juga turut diundang khas secara bergilir-gillir sebagai juri jemputan pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap di studio bagi mengadili persembahan para peserta. Mereka terdiri daripada selebriti tersohor tanah air.
4. Dalam pada itu, seramai lapan figura berpengaruh yang mewakili bidang masing-masing turut dilantik sebagai Juri Duduk Rumah yang akan mengadili persembahan setiap peserta secara virtual dari rumah. Mereka terdiri daripada Idayu, Bob Yusof, Sissy Imann, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain, Ngektsai, Niezam Abdullah dan Sudyr Tahir.
5. Melihat kepada karisma, reputasi dan pengalaman luas Dato’ AC Mizal dalam mengendalikan pentas utama pelbagai program hiburan yang berskala besar, beliau telah diberi mandat selaku Pengacara konsert mingguan ‘Suara Viral’.
6. Manakala penyanyi Marsha Milan Londoh pula dilantik sebagai Pengacara ‘Back Stage’ untuk musim ini.
7. Pemilihan barisan peserta adalah melalui sesi ujibakat dan saringan tertutup yang teliti bagi mengenal pasti bakat yang benar-benar mampu memberi cabaran sengit. Tunjang utama pemilihan adalah berdasarkan kekuatan vokal, mempunyai kerjaya, keunikan karekter dan identiti serta nilai komersial yang tinggi.8.Juara ‘Suara Viral’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 beserta trofi sumbangan Astro.
Info Siaran Suara Viral
Rangkaian program ‘Suara Viral’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan harian ‘Jom Intai Suara Viral’ pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 6.55pm bermula 15 June 2020. Manakala rakaman konsert mingguan ‘Suara Viral’ akan berlangsung dari Studio Visual Three, Seri Kembangan dan bakal ditayangkan selama dua jam pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 17 Jun 2020.