Petugas Astro Audio Turun Padang Bantu Penduduk Terjejas Insiden Kebakaran Gas Di Putra Height
05
April
2025

Petugas Astro Audio Turun Padang Bantu Penduduk Terjejas Insiden Kebakaran Gas Di Putra Height

KUALA LUMPUR 2 APRIL 2025 - ASTRO AUDIO terdiri daripada penyampai stesen audio dan petugas am turun padang membantu penduduk terjejas insiden kebakaran gas di Putra Height Selangor. Insiden itu turut menyebabkan 300 kediaman mengalami kerosakan, termasuk 78 dilaporkan musnah sepenuhnya, selain lebih 100 kenderaan milik penduduk terjejas, manakala sebahagian penduduk terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengurus Jenama THR GEGAR Eman Zaki berkata ASTRO AUDIO telah menggerakkan misi bantuan ke lokasi kejadian serta melihat dengan lebih dekat kemusnahan yang berlaku di lokasi tersebut. Ia juga antara inisiatif terbaik menghulurkan bantuan sewajarnya bagi mereka yang terjejas dalam insiden itu.

“Pelbagai bentuk bantuan yang kami berikan antaranya agihkan pek makanan kepada penduduk terjejas, petugas keselamatan  serta sukarelawan yang berada di lokasi berkenaan. Bantuan kelengkapan diri seperti perkakas mandian juga turut diberikan terutama yang berada di PPS.  Kami juga turut agihkan bantuan persekolahan seperti alat tulis kepada anak-anak kecil yang turut terlibat dalam insiden ini,” ujar Eman.

Selain itu, ASTRO AUDIO  juga turut memberi bantuan terhadap haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Beberapa pek makanan juga telah diberikan kepada petugas sukarelawan daripada persatuan haiwan yang turut serta di Putra Height. Rata-rata mereka bertungkus lumus menyelamatkan haiwan berkenaan dan membawanya ke pusat rawatan berdekatan jika haiwan tersebut mengalami kecederaan.

“Kami dari ASTRO AUDIO terus berdoa agar ke semua penduduk terjejas dalam insiden ini dipermudahkan segala urusan dan tabah dengan dugaan yang dihadapi. Bantuan seumpama ini akan kami teruskan di masa akan datang sebagai tanda sokongan dan prihatin kami kepada golongan yang memerlukan.

Untuk berita, aktiviti dan program terkini boleh layari laman sosial rasmi 13 stesen Astro Audio.