Sambutan hebat diterima oleh barisan program yang bersiaran secara langsung di saluran Astro Warna seperti ‘Super Spontan’ dan ‘Maharaja Lawak Mega’ mendorong pihak saluran komedi ini untuk terus memantapkan seleksi kandungan programnya dengan memperkenalkan slot baharu, ‘Lawak Live’. Slot ‘Lawak Live’ ini bakal menyajikan program-program variety yang akan bersiaran secara langsung.
Pelawak, pelakon serta pengacara yang tidak asing lagi, Johan dan Zizan Razak, diberi penghormatan untuk membuka tirai slot ‘Lawak Live’ menerusi program ‘JOZAN’ yang menyaksikan dua figura popular ini bergandingan selaku pengacara program.
Bakal ke udara selama 40 minggu, ‘JOZAN’ akan bersiaran secara langsung selama satu jam dari Studio 1, Astro pada setiap hari Selasa bermula 24 Julai 2018 jam 10.00 malam. Ia akan dipancarkan terus di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan untuk pilihan alternatif, ia boleh ditonton menerusi platform digital Astro GO dan ‘on demand’.
NOTA RINGKAS ‘JOZAN’
- Program ‘JOZAN’ merupakan sebuah program variasi hiburan komedi kendalian Johan dan Zizan Razak yang mengetengahkan isu-isu terkini dan viral menerusi pelbagai bentuk aktiviti hiburan berteraskan komedi seperti permainan, sketsa, debat santai, persembahan muzikal, parodi, temu bual dan pelbagai lagi. Program ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air pada setiap minggu.
- Berdurasi selama satu jam, ‘JOZAN’ dibahagikan kepada lima segmen di mana setiap segmen mengandungi pengisian aktiviti hiburan yang berbeza. Secara keseluruhannya, terdapat 22 bentuk aktiviti hiburan yang bakal menghiasi ‘JOZAN’. Antaranya adalah ‘Perang Jantina’, ‘Bakat Ke Laut’, ‘Kita Ke Mahkamah’, ‘Lip Sync Battle’, ‘Horror Latah’, ‘Bual Bicara’, ‘Hos vs Hos challenge’ dan pelbagai lagi.
- Menariknya, aktiviti hiburan bagi setiap segmen tidak tetap dan akan bertukar silih berganti pada setiap minggu bagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton dan memastikan kandungan program ‘JOZAN’ sentiasa segar dengan kelainan yang ditampilkan dalam setiap episod.
- Kepelbagaian aktiviti hiburan dalam ‘JOZAN’ yang disesuaikan mengikut topik perbincangan pada minggu tersebut bukan sahaja menguji para selebriti jemputan tetapi juga Johan dan Zizan selaku anak seni versatil yang bermula daripada bawah dan telah melalui liku-liku dunia hiburan.
- Program ini juga bakal menyaksikan penglibatan secara langsung daripada penonton di mana terdapat sebuah segmen khas untuk penonton menonjolkan bakat mereka dan penonton juga berpeluang untuk menentukan cabaran yang harus dilakukan oleh Johan dan Zizan serta melontarkan idea-idea bernas berkaitan program dengan memberi maklum balas di media rasmi ‘JOZAN’ untuk perhatian pihak penerbitan.
- Antara lain yang menarik perhatian adalah ‘JOZAN’ merupakan program pertama menampilkan Johan dan Zizan Razak sebagai JOZAN selepas enam tahun. Penampilan akhir gandingan mereka berdua sebagai JOZAN di kaca televisyen adalah menerusi program ‘Maharaja Lawak Mega 2012’ yang menyaksikan mereka menjulang trofi juara.
PETIKAN KENYATAAN RASMI
Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna berkata:
"Syukur Alhamdulillah, melewati pertengahan tahun 2018 ini saluran Astro Warna terus bergerak maju dan tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelbagai seleksi program komedi buat penonton sejak dari bulan Januari lagi. Kini, kami mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan memperkenalkan sebuah program terbaharu, ‘JOZAN’ dan ia akan dikendalikan oleh gandingan duo yang cukup hebat dan popular, Johan dan Zizan Razak.
Uniknya program ‘JOZAN’ ini, ia merupakan satu-satunya program siaran langsung di Astro Warna yang tidak terikat dengan sesuatu format. Perkara paling utama dalam perjalanan program ini adalah kandungan yang memberi gelak tawa kepada penonton. Justeru itu, kami membawakan pelbagai bentuk pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara serta pelbagai lagi yang akan bertukar-tukar pada setiap minggu, bersesuaian dengan topik pada minggu tersebut.
Selain itu, penampilan pertama Johan dan Zizan dalam program ini pada 24 Julai kelak bakal menandakan penyatuan semula secara rasminya jenama ‘JOZAN’ setelah enam tahun mereka membawa haluan masing-masing dalam mencorakkan kerjaya mereka. Kini mereka kembali ke Astro Warna, tempat permulaan kerjaya mereka berdua sebagai anak seni yang lebih hebat, matang dan sarat dengan pengalaman untuk mengendalikan program mereka sendiri. Pastinya kehadiran semula gabungan duo yang pernah menggamatkan industri komedi tanah air suatu masa dahulu dinanti-nantikan oleh semua peminat.”
MEDIA RASMI ‘JOZAN’
BUTIRAN SIARAN
‘JOZAN’ akan mula dipancarkan secara langsung pada setiap hari Selasa mulai 24 Julai 2018 jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan siaran serentak di Warna HD (saluran 124). Program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.
IKUTI BERITA TERKINI ‘JOZAN’
Facebook: Zon Lawak
Instagram: @zonlawak & @jozanlive
Twitter: @ZonLawak
#jozanlive & #jozan