Astro mempersembahkan program realiti terbaharu,‘The Hardest Singing Show’, sebuah program kompetitif yang buat pertama kalinya mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan penyanyi-penyanyi hebat tempatan. Program ini bakal menemui pelanggan Astro bermula 12 Mei, setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.
Program ‘The Hardest Singing Show’ berteraskan konsep ‘Kreativiti Luar Limitasi’, dan bakal menguji kestabilan fizikal, mental dan kreativiti peserta dalam persembahan, di mana secara tidak langsung turut menguji kualiti vokal nyanyian mereka. Peserta juga dikehendaki memberikan satu ‘Wow Moment’ dalam ‘showmanship’ bergantung pada idea dan kreativiti para peserta. Konsep tambahan ini menjadi faktor penting dalam pemarkahan akhir mereka serta kedudukan dalam pertandingan sehingga ke minggu akhir.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Kami amat teruja untuk memperkenalkan program realiti terbaharu Astro, ‘The Hardest Singing Show’ kepada para penonton. Konsep ini buat pertama kalinya mempertaruhkan kehebatan dan keunikan ‘showmanship’ dalam persembahan sebagai elemen utama, selain kemantapan vokal yang bakal menjadi tarikan penonton untuk menyaksikan program ini. Para penonton juga bakal menyaksikan penyanyi-penyanyi kegemaran mereka melakukan persembahan yang luar biasa mengikut kreativiti dan pada masa yang sama, peserta perlu mengawal kestabilan vokal nyanyian.
Sebagai salah satu program ‘signature’ terbesar kami pada tahun ini, kami ingin memastikan ia kekal berdaya saing dan relevan di dalam industri nyanyian yang kian berubah. Oleh itu, pembaharuan format ini ditambah untuk memberi keunikan kepada rancangan-rancangan nyanyian kami yang sering mendapat sokongan padu daripada para penonton dan peminat. Kami yakin ‘The Hardest Singing Show’ bakal memberi pengalaman baharu kepada semua termasuk barisan peserta ternama yang akan bersaing dalam rancangan ini serta barisan juri dan hos yang juga mempunyai peranan hebat dalam dunia hiburan.
Jutaan terima kasih turut diucapkan kepada pihak penaja, Alha Alfa Cosmetics yang sudi menaja rancangan terbaharu kami pada kali ini. Kami berharap penganjuran ‘The Hardest Singing Show’ bersama Alha Alfa Cosmetics dapat menambat hati para penonton daripada setiap pelosok dunia dengan keistimewaannya tersendiri serta menyerlahkan bakat-bakat tempatan yang ada di negara kita,” tambah Norzeha.
Barisan peserta yang bakal bersaing selama 10 minggu menerusi rancangan pertandingan nyanyian terbaharu Astro ini merupakan 9 peserta individu dan berkumpulan terdiri daripada penyanyi terhebat kini, termasuk Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta kumpulan penyanyi wanita popular Malaysia, De Fam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
Manakala pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad bergandingan bersama pengacara, pelawak dan juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose yang akan menggemudi rancangan ini. Manakala bangku juri pula disandang oleh barisan penyanyi, komposer dan pengarah professional yang telah lama berkecimpung di dalam industri muzik dan hiburan, termasuk Dato’ Sri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak.
Penerbitan ‘The Hardest Singing Show’ diunikkan oleh Alha Alfa Cosmetics selaku penaja utama, serta turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak selaku rakan digital dan ERA sebagai rakan radio rasmi.