Rocketfuel Entertainment Raikan Syawal 2026 Dengan 7 Buah Lagu Raya
27
February
2026

Rocketfuel Entertainment Raikan Syawal 2026 Dengan 7 Buah Lagu Raya

"Bila Bersama, Lagi Jadi" - Himpunkan Cerita Dari Tawa Hingga Gugur Air Mata

Bersempena Ramadan dan Syawal pada tahun ini, label hiburan terkenal, Rocketfuel Entertainment tampil dengan sebuah inisiatif istimewa menerusi pelancaran tujuh lagu raya yang merangkumi pelbagai genre, penceritaan dan emosi.

Daripada rentak rancak dan moden, sehinggalah balada yang meruntun jiwa, setiap karya membawa identiti tersendiri, namun tetap bersatu dibawah semangat kebersamaan selari dengan tagline Astro Salam Ramadan 2026, “Bila Bersama, Lagi Jadi”.

Lebih menarik, ketujuh-tujuh lagu ini akan dihimpunkan dalam sebuah EP khas, sekali gus membentuk sebuah “universe” raya tersendiri yang unik dan saling berkait di bawah payung Rocketfuel Entertainment.

“Rindu Raya” – ALPHA

Dilancarkan pada 21 Februari 2026, lagu raya nyanyian ALPHA ini menampilkan sisi berbeza kumpulan tersebut.

Bernuansa pop dan berentak sederhana, lagu ini mengangkat tema kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman, satu perasaan yang semakin kuat apabila tibanya Ramadan dan Syawal. Sehingga kini, lagu ini telah meraih lebih 200,000 tontonan di saluran YouTube Rocketfuel Network.

ALPHA berkongsi, “Lagu ini memang berbeza daripada kebiasaan kami. Kami mahu tonjolkan sisi yang lebih tenang dan penuh perasaan. Rasa rindu pada keluarga itu sangat universal, dan kami percaya ramai boleh relate dengan ‘Rindu Raya’.”

“Kampung Kita” – Wani Kayrie

Kali ini, Wani Kayrie kembali memeriahkan Ramadan dan Syawal dengan “Kampung Kita”, sebuah lagu raya yang merupakan kesinambungan kepada lagu “Cak Cak Cekuk” yang pernah tular, dan masih mengekalkan elemen keceriaan yang sama serta melodi yang mudah melekat di ingatan.

Lagu ini berkisar tentang keterujaan pulang ke kampung, bukan sahaja untuk bertemu keluarga, malah untuk berjumpa insan yang disukai.

“Saya suka lagu raya yang fun dan buat orang rasa hendak menari. ‘Kampung Kita’ ada vibe itu,tapi dalam masa yang sama ada kisah manis tentang perasaan rindu bila hendak jumpa orang yang kita suka,” kata Wani.

“Raya Macam Raya” – Hael Husaini x ALPHA

Kolaborasi antara Hael Husaini dan ALPHA menerusi “Raya Macam Raya” tampil sebagai lagu upbeat yang segar dan penuh warna M-Pop.

Dicipta oleh Hael sendiri bersama Iqie Hugh, lagu ini mengetengahkan keterujaan membuat persiapan raya dan memastikan segala kelengkapan Syawal tersedia sempurna.

Hael berkata, “Apabila menjelang raya, kita memang mahu semuanya lengkap. Lagu ini menggambarkan semangat itu, apabila persiapan cukup dan kita bersama orang tersayang, barulah terasa kemeriahan sebenar.”

“Lagu Raya Untukmu” – Hael Husaini

Selain kolaborasi, Hael Husaini turut menghadiahkan sebuah single raya solo yang mencuit hati berjudul “Lagu Raya Untukmu” sebagai tanda penghargaan buat mereka yang sentiasa berada di belakang perjalanan seninya.

“Lagu ini adalah hadiah istmewa untuk peminat yang sentiasa menyokong saya saban tahun,” ujar Hael.

 “Duit Raya” – Sharul Kamal & Mierul Aiman

Lagu raya nyanyian Sharul Kamal bersama Mierul Aiman ini pula membawa mesej yang cukup dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Dengan bait-bait pembuka,“ada duit takda duit, raya tetap raya”, lagu ini mengingatkan kita bahawa Aidilfitri diraikan dengan penuh keikhlasan dan kebersamaan, bukan semata-mata harta.

Sharul memberitahu, “Kami mahu lagu ‘Duit Raya’ jadi peringatan yang ringan tapi bermakna. Walau apa pun keadaan, raya tetap tentang keluarga dan kasih sayang.”

“Elemen rap dalam lagu ini memberi sentuhan moden. Kami hendak sampaikan mesej positif dalam cara yang santai dan fresh,” tambah Mierul.

 “Senyum Gugur Di Hujung Doa” – Dayang Nurfaizah

Tidak semua Syawal diraikan dengan kegembiraan sepenuhnya. “Senyum Gugur Di Hujung Doa” oleh Dayang Nurfaizah hasil gubahan Hael Husaini bersama Iqie Hugh hadir sebagai sebuah balada melankolik yang berkisar tentang kerinduan terhadap insan tersayang yang telah pergi buat selamanya.

Nyanyian Dayang yang mendayu dan penuh penghayatan menjadikan lagu ini antara karya paling menyentuh hati dalam koleksi raya tahun ini.

Dayang berkata, “Setiap kali raya, pasti ada yang terasa kehilangan. Lagu ini saya nyanyikan dengan hati yang tulus buat mereka yang merindui insan tersayang. Semoga ia menjadi teman dan penenang jiwa.”

 “Restu Raya” – Nadeera

Nadeera turut mencuri perhatian dengan lagu berjudul “Restu Raya”, yang menampilkan susunan melodi yang menarik serta cerita yang dekat dengan pengalaman ramai orang.

“Saya mahu lagu ini menjadi lagu yang mudah dinyanyikan oleh semua, tidak kira usia. Raya itu tentang kebersamaan, dan saya harap lagu ini dapat menyatukan semua,” jelas Nadeera.

Universe Raya Rocketfuel

Menariknya, setiap lagu raya yang dilancarkan memberi bayangan kepada karya seterusnya, membentuk sebuah naratif berangkai dalam“universe” kreatif Rocketfuel Entertainment, seolah-olah setiap lagu bergerak dalam orbit yang saling melengkapi.

Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, “Kami mahu setiap lagu raya tahun ini membawa identiti yang jelas. Ada yang ceria, ada yang reflektif, dan ada juga yang moden. Inilah realiti masyarakat kita yang berbeza latar belakang dan rasa, tetapi bersatu apabila tibanya Syawal.”

Video muzik bagi lagu-lagu raya tahun ini turut mendapat sokongan beberapa jenama. Video muzik Rindu Raya disokong oleh Shell, Bath & Body works dan Vida manakala Kampung Kita dikuasakan oleh KFC dan Lepas Malaysia. Dalam masa sama, video muzik Raya Macam Raya turut menerima sokongan daripada Vida dan Daikin.