Semangat Luar Biasa Dua Beradik Kelainan Upaya Jadi Inspirasi di 3 Pagi ERA
KUALA LUMPUR, 2 Julai 2026 – Semangat luar biasa dua beradik kelainan upaya dari Temerloh, Pahang yang tular di media sosial kerana gigih mengusahakan perniagaan Cendol Leleh mendapat perhatian 3 Pagi ERA apabila mereka dijemput sebagai tetamu khas untuk berkongsi kisah inspirasi di sebalik perjalanan hidup dan perniagaan mereka.
Nik Haznita dan Nik Haziera membuktikan bahawa cabaran fizikal bukanlah penghalang untuk terus berusaha mencari rezeki dan membina kehidupan yang lebih baik. Kisah mereka mendapat perhatian ramai apabila tetap meneruskan jualan Cendol Leleh walaupun berdepan dugaan besar dalam kehidupan.
Kedua-dua beradik itu kehilangan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya yang berlaku kira-kira dua tahun lalu. Namun, tragedi tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit meneruskan kehidupan, malah menjadi pemangkin untuk terus berdikari dan mengembangkan perniagaan yang diusahakan.
Sebagai tanda sokongan terhadap kegigihan mereka, penyanyi Amir Masdi telah menginfaq pembelian sebanyak 300 cawan Cendol Leleh, manakala ERA turut membeli 300 cawan lagi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 600 cawan dibeli dalam usaha membantu meningkatkan jualan serta memberi galakan kepada mereka untuk terus maju.
Penyampai 3 Pagi ERA, Nabil Ahmad, berkata kisah dua beradik itu menyentuh hati dan menjadi bukti bahawa semangat juang yang tinggi mampu mengatasi apa jua cabaran hidup.
“Saya sangat kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Nik Haznita dan adiknya. Walaupun berdepan dugaan yang sangat besar, mereka tidak pernah menjadikan keadaan yang dialami sebagai alasan untuk berhenti berusaha. Sebaliknya, mereka memilih untuk bangkit, berniaga dan mencari rezeki secara halal.
“Apa yang lebih mengagumkan, mereka sentiasa positif dan terus memandang ke hadapan. Bagi saya, inilah contoh sebenar tentang kekuatan mental dan ketabahan yang patut dicontohi oleh masyarakat. Kita selalu bercakap tentang motivasi, tetapi mereka membuktikannya melalui tindakan.
“Saya berharap kisah mereka dapat membuka mata ramai orang, khususnya golongan muda, bahawa setiap orang pasti akan melalui ujian dalam hidup. Namun, apa yang membezakan kita adalah bagaimana kita memilih untuk menghadapi ujian tersebut. Jangan cepat mengalah, sebaliknya terus berusaha dan mencari peluang untuk memperbaiki kehidupan,” kata Nabil.
Menurut Nabil lagi, kecekalan yang ditunjukkan oleh dua beradik itu bukan sahaja memberi inspirasi kepada pendengar ERA, malah menjadi peringatan bahawa kejayaan tidak semestinya hadir dalam keadaan sempurna. Sebaliknya, ia memerlukan kesungguhan, disiplin dan semangat untuk terus bangkit setiap kali berdepan kesukaran.
Dalam masa yang sama, Haziera sedang giat berlatih dan mewakili negeri Pahang dalam sukan paralimpik menerusi acara lawan pedang kerusi roda (wheelchair fencing). Pencapaian itu sekali lagi membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak pernah menghalang dirinya untuk mengejar impian dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.
Melalui perkongsian mereka di 3 Pagi ERA, stesen radio nombor satu negara itu berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan terus menyokong usahawan kecil tempatan serta memberi ruang kepada golongan orang kurang upaya untuk berkembang dan menyerlahkan potensi masing-masing.
Kisah Nik Haznita dan Nik Haziera membuktikan bahawa dengan keazaman, usaha dan sokongan masyarakat, setiap individu mampu mencipta peluang baharu untuk diri sendiri serta menjadi inspirasi kepada orang lain.