Skip to main content
30 Sesi Insan Hebat

SINAR Bawakan Kisah 30 Kerjaya Unik Menerusi Segmen ‘30 Nama, Inspirasi di Sebalik Cerita’

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2026 - Dalam usaha memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap pelbagai bidang pekerjaan yang wujud di negara ini, SINAR menerusi program Gen SINAR Pagi telah memperkenalkan segmen khas bertajuk ‘30 Nama, Inspirasi di Sebalik Cerita’, yang mengetengahkan kisah-kisah individu daripada pelbagai kerjaya unik dan luar kebiasaan.

Bermula pada 12 Oktober 2026, segmen yang berlangsung selama 30 hari ini menghimpunkan seramai 31 individu daripada 30 latar belakang kerjaya berbeza untuk berkongsi pengalaman serta realiti pekerjaan masing-masing. Melalui sesi temu bual bersama trio penyampai Gen SINAR Pagi, Roy Azman, Sharifah Shahirah dan Hefny Sahad, para tetamu berkongsi perjalanan kerjaya mereka, cabaran yang dihadapi, kejayaan yang dicapai serta pengorbanan yang perlu dilakukan dalam bidang yang diceburi.

Sepanjang kempen berlangsung, pelbagai kisah menarik berjaya mencuri perhatian pendengar dan pengguna media sosial SINAR. Antara kerjaya yang menerima sambutan serta interaksi tinggi di platform digital SINAR ialah Pegawai Kawalan Trafik Udara, Pakar Pembersihan Forensik dan Pengurusan Jenazah serta Pelakon Suara Latar. Perkongsian yang dibawakan bukan sahaja membuka mata masyarakat terhadap peranan penting profesion-profesion ini, malah memberi gambaran lebih mendalam tentang tanggungjawab, kemahiran serta pengalaman sebenar di sebalik setiap pekerjaan.

Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memberi pendedahan yang lebih luas kepada masyarakat mengenai pilihan kerjaya yang mungkin kurang dikenali, namun memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian.

"Di SINAR, kami percaya setiap pekerjaan mempunyai kisah tersendiri yang wajar diketengahkan dan dihargai. Menerusi ‘30 Nama, Inspirasi di Sebalik Cerita’, kami mahu membuka perspektif masyarakat terhadap kepelbagaian kerjaya yang wujud serta memberi penghormatan kepada individu-individu yang mencurahkan khidmat dan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing."

"Kami juga berharap perkongsian ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, khususnya bakal lepasan SPM, untuk melihat peluang kerjaya dari sudut yang lebih luas. Tidak semua kejayaan bermula daripada laluan yang konvensional. Kadangkala, minat, bakat dan kemahiran yang dimiliki mampu membawa seseorang kepada kerjaya yang unik, bermakna dan memberi impak besar kepada masyarakat," tambah beliau.

Menerusi pelaksanaan segmen ini, SINAR terus memanfaatkan kekuatan platform radio dan digital sebagai medium yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik serta memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, inisiatif ini menjadi ruang untuk menghargai sumbangan individu daripada pelbagai bidang pekerjaan yang sering menjadi tulang belakang kepada kelancaran kehidupan masyarakat walaupun jarang mendapat perhatian umum.

Dengan pendekatan kandungan yang relevan dan dekat dengan kehidupan pendengar, SINAR komited untuk terus menghasilkan lebih banyak inisiatif berimpak positif yang mampu membuka minda, mencetuskan inspirasi serta memperkukuhkan hubungan dengan komuniti pendengar di seluruh negara.

SINAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR memfokuskan kepada lagu-lagu popular era 90-an, menjadikannya pilihan utama pendengar di Malaysia.

Dengan hampir 4 juta pengikut di media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti SINAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

SINAR – Muzik Retro Terbaik.