KUALA LUMPUR, 16 April 2026 – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, stesen radio kegemaran ramai, SINAR FM, menerusi segmen popular Gen SINAR Pagi (GSP) telah melancarkan satu inisiatif istimewa bertajuk “SINAR Beraya Di Pejabat”. Program ini diwujudkan khusus bagi mengeratkan hubungan dengan pendengar setia serta memberikan penghargaan kepada golongan pekerja yang terus komited menjalankan tugas sepanjang musim perayaan.
Kempen yang bermula pada awal minggu lalu ini telah menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai organisasi di sekitar Lembah Klang. Penyertaan dinilai berdasarkan kreativiti serta impak penyampaian, sebelum dua buah pejabat dipilih sebagai pemenang utama.
Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Affendi, pemilihan pejabat pemenang dibuat berdasarkan alasan paling menarik yang dikongsikan oleh pendengar mengenai mengapa mereka ingin menyambut Aidilfitri bersama pasukan Gen SINAR Pagi di tempat kerja masing‑masing.
“Kempen ini diwujudkan sebagai medium untuk kami berinteraksi secara lebih dekat dengan pendengar, di samping menghargai para pekerja yang tetap berkhidmat dengan penuh dedikasi walaupun dalam suasana perayaan,” jelas beliau.
Pejabat pertama yang terpilih telah menerima kunjungan istimewa daripada Gen SINAR Pagi pada Jumaat, 10 April 2026 di Sungai Penchala. Lawatan tersebut diserikan dengan pelbagai aktiviti bertemakan Aidilfitri yang menceriakan suasana kerja dan mencipta detik kebersamaan bersama warga pejabat.
Sementara itu, kunjungan ke pejabat pemenang kedua telah berlangsung pada Rabu, 16 April 2026 di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, sekali gus meneruskan kemeriahan program “SINAR Beraya Di Pejabat”.
Tambah Zureen lagi, inisiatif ini mencerminkan komitmen SINAR untuk sentiasa mendekati pendengar bukan sahaja melalui gelombang radio, malah melalui pengalaman bersemuka yang lebih bermakna.

“Aidilfitri membawa makna kebersamaan. Melalui kempen ini, kami ingin berkongsi keceriaan dan memberi penghargaan kepada mereka yang menjadi tulang belakang sesebuah organisasi,” katanya.
Melalui pelaksanaan program ini, SINAR berharap dapat terus memperkukuhkan hubungan jangka panjang bersama pendengar setia serta mencipta pengalaman positif yang memberi nilai tambah sempena musim perayaan.
SINAR merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian radio di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, SINAR menumpukan kepada lagu-lagu popular era 90‑an, sekali gus menjadikannya pilihan utama pendengar di seluruh Malaysia.
Dengan hampir 4 juta pengikut di platform media sosial, SINAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Retro Terbaik. Selain mengikuti siaran radio, pendengar juga boleh berinteraksi dengan SINAR melalui platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi SINAR di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
SINAR – Muzik Retro Terbaik.


%201.png)

