SINAR Tampil Tagline Baharu Muzik Retro Terbaik & Perkenalkan Barisan Penyampai
04
February
2025

SINAR Tampil Tagline Baharu Muzik Retro Terbaik & Perkenalkan Barisan Penyampai

Stesen radio SINAR, yang telah bersiaran lebih daripada 20 tahun, kini memperkenalkan tagline baharu, "Muzik Retro Terbaik". Sebelum ini, SINAR menggunakan tagline "SINAR Menyinari Hidupmu", yang cukup sinonim dengan pendengar setianya. Namun, dengan tagline baharu ini, SINAR berharap dapat memberikan nafas baharu kepada pendengar melalui kandungan muzik dan lagu-lagu yang lebih menggamit memori.

Menurut Pengurus Jenama SINAR, Zureen Effandi, keputusan untuk memperkenalkan tagline baharu ini adalah langkah strategik bagi memastikan SINAR kekal relevan serta terus dekat di hati pendengar.

"Tagline 'Muzik Retro Terbaik' sangat bertepatan kerana majoriti pendengar SINAR berusia 30 tahun ke atas. Tagline ini pernah digunakan sebelum ini, namun kini ia diperkenalkan semula berdasarkan trend dan permintaan semasa pendengar," katanya.

Zureen turut menjelaskan bahawa pemilihan lagu-lagu era 80-an dan 90-an akan terus menjadi teras kepada identiti SINAR.
"Lagu-lagu era 80-an dan 90-an adalah keunikan kami, dan ia sinonim dengan konsep yang telah lama membentuk jenama SINAR. Untuk lagu-lagu baharu pula, kami tetap akan memutarkannya, namun jumlahnya hanya sekitar 10 peratus sahaja. Kami percaya ini adalah keseimbangan terbaik untuk mengekalkan keistimewaan kami sambil memenuhi kehendak pendengar."

Beliau turut menyeru agar pendengar setia terus memberikan sokongan kepada SINAR sebagai satu-satunya stesen radio yang mengutamakan lagu-lagu retro untuk membangkitkan kenangan indah mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai berita, aktiviti, dan kemaskini terkini, sila layari laman media sosial rasmi SINAR.

DAPATAN KAJIAN UMUR DAN LOKASI PENDENGAR SINAR 

Menurut kajian terkini oleh GFK 2024, analisis demografi penduduk Malaysia yang mendengar radio SINAR menunjukkan pembahagian yang menarik berdasarkan kategori umur. Golongan berusia 40 tahun ke atas mencatatkan peratusan pendengar tertinggi sebanyak 37.62%, diikuti oleh kumpulan umur 30-39 tahun (24.41%), 20-29 tahun (19.70%), dan 10-19 tahun (18.27%). Data ini menunjukkan bahawa radio SINAR terus menjadi pilihan utama bagi pendengar dewasa, dengan tarikan meluas merentasi semua generasi.

Dari segi lokasi, pendengar radio SINAR paling ramai berasal dari Selangor, yang mencatatkan 25.51% daripada jumlah keseluruhan pendengar, diikuti oleh Perlis atau Kedah (14.71%), Johor (8.71%), dan Pahang (7.29%). Negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, dan Perak masing-masing menyumbang peratusan antara 3% hingga 12%. Statistik ini menonjolkan keupayaan radio SINAR untuk menarik pendengar dari pelbagai kawasan, menjadikannya medium penting dalam menyampaikan hiburan dan maklumat kepada masyarakat di seluruh negara.