SINAR & ZAYAN Semarakkan Sambutan Aidiladha Melalui Inisiatif Korban Kebajikan
29
May
2026

SINAR & ZAYAN Semarakkan Sambutan Aidiladha Melalui Inisiatif Korban Kebajikan

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2026 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini, stesen radio SINAR dan ZAYAN meneruskan komitmen dalam tanggungjawab sosial korporat melalui pelaksanaan beberapa inisiatif korban dan program kemasyarakatan yang melibatkan pelbagai komuniti di dalam dan luar Semenanjung Malaysia.

Menurut Pengurus Jenama SINAR dan ZAYAN, Zureen Affendi, penganjuran program ini merupakan usaha berterusan untuk menyantuni masyarakat selain menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan serta semangat pengorbanan yang menjadi teras sambutan Aidiladha.

“Salah satu pengisian utama tahun ini ialah Misi Korban Semporna yang dilaksanakan dengan kerjasama Komuniti Dakwah Tarbiah, melibatkan penyertaan personaliti seperti Anas Tahir, PU Salman, Saiful Apek dan Yasin Senario.”

Misi ini memberi tumpuan kepada komuniti di kawasan Semporna, Sabah, dengan pelaksanaan ibadah korban melibatkan tiga ekor lembu yang diagihkan di beberapa lokasi termasuk Pulau Baik dan Pulau Bum Bum.

Selain ibadah korban, program tersebut turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong yang diadakan di kawasan Maktab Tarbiah serta Kampung Labuan Haji di Pulau Bum Bum. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara sukarelawan dan komuniti melalui penglibatan secara langsung di lapangan.

Dalam masa yang sama, Program Lapah SINAR turut dianjurkan dengan kerjasama strategik Agrobank di Tanjung Karang, Selangor. Program ini melibatkan penyembelihan sebanyak enam ekor lembu korban yang kemudiannya diagihkan kepada masyarakat setempat.

Program ini juga disertai oleh barisan penyampai Gen SINAR Pagi, iaitu Kak Sheera, Roy Azman dan Hefny, yang turut meluangkan masa berinteraksi serta beramah mesra dengan petugas Agrobank dan penduduk setempat.

Kerjasama ini disambut baik oleh pihak Agrobank yang melihat inisiatif tersebut sebagai satu platform untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti serta memeriahkan lagi pelaksanaan ibadah korban secara lebih tersusun dan inklusif.

Mengulas lanjut, Zureen Affendi menegaskan bahawa program-program sebegini mencerminkan peranan SINAR dan ZAYAN sebagai medium yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendekati masyarakat melalui aktiviti yang memberi impak positif.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Komuniti Dakwah Tarbiah dan Agrobank, atas kerjasama erat dalam menjayakan keseluruhan program Aidiladha ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para sukarelawan dan masyarakat setempat yang telah memberikan sokongan padu sepanjang pelaksanaan inisiatif ini.

Melalui penganjuran program sebegini, SINAR dan ZAYAN berharap nilai-nilai murni Aidiladha seperti pengorbanan, keikhlasan dan kebersamaan dapat terus dipupuk dalam kalangan masyarakat, selari dengan aspirasi untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.