SINARENA 2024: Perlawanan Epik SINAR dan ASTRO ARENA Lawan Pemain Legenda Sultan Selangor
26
August
2024

SINARENA 2024: Perlawanan Epik SINAR dan ASTRO ARENA Lawan Pemain Legenda Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 25 OGOS 2024 – SINAR, dalam kerjasama dengan Astro Arena, telah berjaya menganjurkan acara Pesta Bola SINARENA 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Acara ini menyaksikan pertembungan antara pasukan gabungan SINARENA dan Astro Arena menentang Pemain Legenda Sultan Selangor dalam perlawanan bola sepak yang epik dan penuh dengan aksi mendebarkan.

Pasukan SINARENA yang menampilkan barisan pemain terkenal seperti Ray, Putra, Haiqal, Zainal Abidin Rawop, Hafizal Hamad, Mat Yo, dan Zaquan Adha telah menunjukkan aksi yang memukau. Manakala, Pemain Legenda Sultan Selangor pula terdiri daripada bintang-bintang bola sepak yang tidak asing lagi seperti Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, P. Maniam, Azman Adnan, dan Shahril Arsat.

Perlawanan ini berakhir dengan keputusan 3-3 yang mendebarkan, memaksa penentuan melalui sepakan penalti. Pemain Legenda Sultan Selangor akhirnya berjaya menumpaskan pasukan SINARENA dengan keputusan 6-5 selepas melalui saat-saat getir di atas padang. Aksi cemerlang dan semangat juang yang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan memberikan hiburan yang luar biasa kepada penonton yang hadir.

Pengurus Saluran Radio SINAR, Raja Nadia Salwana menyifatkan permainan Pesta Bola SINARENA 2024 merupakan salah satu acara luar biasa kerana berjaya menghimpunkan nama-nama besar pemain legenda Selangor di tengah padang. Meskipun mereka telah bersara dalam arena bola sepak, namun ketangkasan mereka menentang pihak lawan masih berbisa.

“Bagi saya permainan antara SINARENA dan juga pemain Lagenda Selangor berjaya mengubat kerinduaan peminat bola sepak terutama daripada penyokong setia pasukan Selangor. Dengan kesempatan ini, mereka dapat melihat pemain kesayangan mereka beraksi di atas padang dengan corak permainan tersendiri.

“Selain itu, hubungan silaturahim juga dapat dieratkan dengan pemain legenda Selangor ini kerana  jasa mereka mengharumkan nama pasukan Selangor sewaktu ketika dahulu tidak akan dilupakan buat penyokong setia.

“Saya mewakili pasukan SINARENA akui berbesar hati dan berbangga dapat menghimpunkan pemain legenda Selangor bermain di Stadium Merdeka. Kehadiran lebih 2,000 penonton ke stadium juga telah menghangatkan lagi suasana kerana perlawanan ini telah ditonton secara percuma oleh semua lapisan umur dan Masyarakat.

“Diharapkan perlawanan seumpama ini dapat diteruskan dimasa akan datang dan pihak kami juga sentiasa terbuka dengan mana-mana pasukan ingin menganjurkan sebarang perlawanan bola sepak untuk kami sertai. Ini kerana sukan bola sepak antara sukan diminati dan terbukti berjaya menyatukan kaum di Malaysia.

Teruskan mendengar Stesen Radio SINAR yang menyajikan pelbagai segmen menarik antaranya Pagi di Sinar, SINAR Solo, Duo SINAR dan Laguku di SINAR.

Ikuti SINAR di media sosial rasmi untuk berita terkini dan kandungan eksklusif.

SINAR: