KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2024 – SYOK, platform podcast terkemuka Malaysia, sekali lagi mencatat sejarah apabila tujuh daripada podcast terbitannya telah berjaya disenarai pendek sebagai finalis dan satu kategori khas ‘Publisher of the Year (major)’ tercalon dalam Asia Podcast Awards 2024. Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan SYOK sebagai peneraju industri podcast di Malaysia, malah juga membuktikan komitmen berterusan SYOK dalam menghasilkan kandungan berkualiti dan relevan kepada para pendengar.
Finalis Asia Podcast Awards 2024 telah diumumkan, dengan 64 finalis dipilih daripada ratusan penyertaan dari seluruh Asia. Anugerah ini akan berlangsung di RadioDays Asia Conference di Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 September 2024, dan keputusan pemenang akan diumumkan pada hari yang sama serta disiarkan di radioinfo.asia.
Berikut adalah senarai kategori yang menyaksikan podcast-podcast SYOK disenaraikan sebagai finalis:
- Best Fictional Podcast: Seram Story Time
- Best Interview Podcast: Muzik Roundtable
- Best Interview Podcast: Confession Bilik Gelap
- Best Interview Podcast: Life Confession
- Best Radio Show Podcast: Borak Selebriti SINAR
- Best Society and Culture Podcast: Sembang Atas Dulang
- Best Sport Podcast: Suited & Booted
- Podcast Publisher of the Year (major): SYOK
Stanley Lim, Head of SYOK, menyatakan, “Kami dari SYOK berbesar hati dengan pencapaian ini. Kalah atau menang bukanlah pengukur kejayaan kami, sebaliknya kami sentiasa komited dalam menghasilkan kandungan podcast yang berkualiti untuk masa akan datang. Ini merupakan pencapaian tertinggi SYOK berbanding tahun lepas di mana hanya dua podcast sahaja yang tercalon. Saya yakin kesemua lapan kategori ini mampu memberi saingan terbaik dalam industri podcast di Malaysia.”
Pencalonan ini memberikan peluang kepada pendengar untuk mengundi dalam kategori People’s Choice di Website radioinfo.asia di mana pengundian akan ditutup pada 31 Ogos 2024. Negara-negara yang juga turut bersaing sebagai finalis adalah Singapura, China, Malaysia, Thailand, Indonesia, India, Vietnam, dan Jepun.
Dengan pencapaian ini, SYOK sekali lagi membuktikan bahawa industri podcast tempatan mampu bersaing di peringkat Asia. Sama ada melalui genre fiksyen, temubual, budaya dan masyarakat, atau sukan, SYOK terus komited dalam menyajikan kandungan yang memenuhi citarasa pelbagai lapisan masyarakat.
Untuk maklumat lanjut mengenai SYOK dan pencalonan ini, sila layari https://radioinfo.asia/news/asia-podcast-awards-2024-finalists-list/ atau ikuti perkembangan terkini syok.my