Skip to main content
THR GEGAR MBR

THR GEGAR Lakar Sejarah Baharu Dengan Dua Pengiktirafan Malaysia Book of Records Dalam Tempoh Sebulan

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2026 – THR GEGAR sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dalam tempoh sebulan, sekali gus menjadikannya satu-satunya stesen radio di Malaysia yang mencapai pencapaian luar biasa ini dan menetapkan penanda aras baharu dalam industri penyiaran radio tempatan.
Pengiktirafan pertama diterima menerusi pencapaian “Siaran Radio Langsung Pertama Dari Paramotor” yang dilakukan oleh penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea, pada 4 September 2026 bersempena Jelajah KITA FM di Kelantan. Cabaran tersebut berlangsung di Pantai Irama, Bachok, apabila kedua-dua penyampai berani menyahut cabaran untuk ke udara sambil berlegar di ruang udara menggunakan paramotor, sekali gus mencipta pengalaman penyiaran yang unik dan tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Pengiktirafan kedua pula diraih menerusi rekod “Persembahan DJ Radio Dikir Barat Secara Langsung Bertali Di Altitud Tertinggi” yang berjaya dicapai oleh Issey dan Fizie, penyampai Bro Pagi Gegar, di puncak Kuantan 188 pada 24 September 2026. Dalam suasana yang penuh debaran, kedua-dua penyampai berjaya menawan puncak mercu tanda tersebut sebelum mempersembahkan Dikir Barat secara langsung dalam keadaan bertali keselamatan pada altitud tinggi, disaksikan oleh para pengunjung di lokasi serta ribuan pendengar menerusi siaran langsung di media sosial.
Menurut Azah Sahrin, Pengurus Jenama THR GEGAR, pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan THR GEGAR dalam membawa pembaharuan dan pengalaman yang berbeza kepada pendengar.
“Kami amat bersyukur dan berbangga atas pengiktirafan yang diberikan oleh Malaysia Book of Records. Dua rekod dalam tempoh sebulan bukan sahaja menjadi bukti keberanian dan komitmen pasukan THR GEGAR, malah mencerminkan semangat kami untuk sentiasa mencipta kandungan yang unik, dekat di hati pendengar dan melangkaui batasan penyiaran radio konvensional.
Pencapaian ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa dedikasi penyampai kami, sokongan padu seluruh warga kerja THR GEGAR serta kepercayaan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada pendengar setia kami. Anugerah ini adalah milik semua yang sentiasa bersama THR GEGAR dalam setiap perjalanan dan pencapaian kami.
Kami akan terus meneroka idea baharu, mencabar kebiasaan dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti kreatif serta inovatif bagi memastikan THR GEGAR kekal relevan, menghiburkan dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.”
Kedua-dua pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan THR GEGAR sebagai jenama radio yang sentiasa berani mencabar kelaziman, selain memperlihatkan komitmen stesen tersebut dalam menghasilkan kandungan dan pengalaman penyiaran yang kreatif, inovatif serta mendekatkan diri dengan komuniti pendengar di seluruh negara.
THR GEGAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, THR GEGAR menampilkan lagu-lagu pilihan dari Pantai Timur, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Permata Pantai Timur. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti THR GEGAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
THR GEGAR – Permata Pantai Timur.