BACHOK KELANTAN 13 MAC 2025– Stesen Radio Nombor 1 Pantai Timur, THR GEGAR berbesar hati menyantuni petugas Agensi Antidadah Kebangsaan khususnya di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok dalam meraikan Ramadan dan berbuka puasa bersama penghuni di pusat pemulihan berkenaan. PUSPEN Bachok antara 30 pusat yang beroperasi di seluruh negara menyediakan program rawatan dan pemulihan kepada mana-mana individu yang telah disahkan sebagai penagih dadah oleh mana-mana Pegawai Perubatan Berdaftar.
Pengurus Jenama THR Gegar, Eman Zaki berkata program ini adalah julung kali diadakan bagi menyantuni klien di PUSPEN Bachok bersama penyampai THR GEGAR yang dapat menjadi memberi motivasi kepada penghuni pusat berkenaan untuk ke arah kepulihan sepanjang hayat. PUSPEN Bachok ini satu-satunya PUSPEN yang menempatkan penghuni perempuan seramai 163 orang yang datang dari seluruh Malaysia.
“Ia satu pengalaman baru buat saya dan juga seluruh pasukan THR GEGAR untuk mengenali dengan lebih lanjut berkenaan pusat pemulihan ini. Ia juga boleh memberi kesedaran kepada kami dan kepada pendengar bahawa setiap manusia wajar diberi peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan."
“Kita sebagai manusia tidak wajar menghukum kehidupan orang lain kerana masing-masing diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Kehadiran kami ke pusat ini juga sebagai satu pendedahan positif kepada pendengar untuk mengetahui model-model pemulihan diri yang disediakan oleh PUSPEN untuk penghuninya.
“Selain itu, aktiviti berbuka puasa bersama penghuninya juga dapat mengenali antara satu sama lain dan boleh mendengar permasalahan mereka dengan lebih dekat serta bentuk pengajaran yang kita boleh pelajari daripada pengalaman yang dialami mereka,” katanya.
Eman menambah aktiviti seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang kerana ia antara medium terbaik untuk kekalkan hubungan antara petugas-petugas kerajaan menangani masalah sosial terutama penyalahgunaan dadah. Ini kerana kerajaan sentiasa serius untuk membasmi permasalahan ini agar ia tidak terus berleluasa terutama kepada golongan remaja dan wanita.
Untuk berita, aktiviti dan program terkini boleh layari laman sosial rasmi THR GEGAR.