Skip to main content
GEGAR PARAMOTOR

THR GEGAR Radio Pertama Di Malaysia Bersiaran Di Udara Menerusi Paramotor

BACHOK KELANTAN 5 SEPTEMBER 2026 THR GEGAR tampil dengan kelainan apabila membawa pengalaman bersiaran radio ke udara menerusi aktiviti paramotor yang disertai oleh penyampai Gegar Petang, Ewan dan Rea.

Aktiviti unik ini merupakan sebahagian daripada pengisian KITA FM menjelajah seluruh negara, yang memberi peluang kepada barisan penyampai untuk meneroka pelbagai lokasi dan pengalaman menarik, selain menghasilkan kandungan yang lebih segar dan dekat dengan pendengar.

Menerusi aktiviti tersebut, Ewan dan Rea menyahut cabaran untuk menaiki paramotor, sekali gus membawa pengalaman bersiaran keluar daripada kebiasaan di studio.

Pengalaman berada di udara ini bukan sahaja menguji keberanian kedua-dua penyampai, malah mencerminkan semangat THR GEGAR untuk terus menghasilkan kandungan yang kreatif, spontan dan menghiburkan.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Azah Sahrin berkata, pengalaman tersebut menjadi antara usaha untuk memberikan sesuatu yang berbeza kepada pendengar, selain memperlihatkan keberanian penyampai mencuba pengalaman di luar kebiasaan.

“Kami sentiasa mahu mencari pengalaman baharu yang boleh diterjemahkan kepada kandungan menarik untuk pendengar. Aktiviti paramotor ini memberikan satu perspektif yang berbeza kerana Ewan dan Rea bukan sahaja mencuba sesuatu yang mencabar, tetapi turut membawa pengalaman itu untuk dikongsikan bersama pendengar.

“Apa yang lebih menarik, aktiviti ini menjadi sebahagian daripada pengisian jelajah KITA FM ke seluruh negara, yang membuka ruang untuk kami meneroka pelbagai pengalaman unik di setiap lokasi,” katanya.

THR GEGAR akan terus menampilkan kandungan yang kreatif dan menghiburkan menerusi barisan penyampainya, termasuk membawa mereka keluar daripada studio untuk merasai sendiri pengalaman yang dekat dengan kehidupan dan minat pendengar.

Aktiviti paramotor ini menjadi antara pengalaman istimewa yang menggabungkan elemen keberanian, hiburan dan kandungan radio dalam satu pengalaman yang berbeza.

THR GEGAR ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, THR GEGAR menampilkan lagu-lagu pilihan dari Pantai Timur, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Permata Pantai Timur. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti THR GEGAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

THR GEGAR – Permata Pantai Timur.