KUALA LUMPUR 8 SEPTEMBER 2025 – ZAYAN, stesen radio Islamik kontemporari di bawah Astro Audio, telah mencuri perhatian peserta antarabangsa dalam persidangan Radiodays ASIA 2025 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 1 hingga 3 September 2025. Persidangan tahunan ini menghimpunkan penggiat industri radio dan audio dari seluruh dunia, menjadikannya platform penting bagi Zayan untuk berkongsi pendekatan kandungan yang segar, inklusif dan berpaksikan nilai-nilai Islam moden.
Pengurus Saluran ZAYAN, Wan Syahrul Amry bin Wan Mansor, telah mewakili stesen tersebut dalam sesi perkongsian yang menyorot bagaimana ZAYAN berjaya membina hubungan kukuh bersama audiens muda melalui kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mendidik dan memperkasa komuniti.
“Kami di ZAYAN percaya bahawa kandungan Islamik boleh disampaikan dengan cara yang segar, inklusif dan dekat dengan jiwa pendengar masa kini, terutamanya golongan muda. Melalui pendekatan kontemporari yang kami bawa, kami bukan sahaja menyampaikan mesej yang positif, tetapi juga membina komuniti yang saling menyokong dan memperkasa antara satu sama lain,” ujar Wan Syahrul Amry.

Beliau turut menekankan bahawa ZAYAN bukan sekadar saluran hiburan, tetapi juga medium dakwah yang relevan dengan gaya hidup moden. Gabungan muzik, motivasi, perkongsian ilmu dan interaksi dua hala bersama pendengar telah membentuk identiti Zayan sebagai stesen radio yang progresif dan berjiwa komuniti.
Penyertaan ZAYAN di Radiodays Asia 2025 Jakarta telah membuka mata banyak pihak, khususnya dari negara-negara yang mempunyai populasi Muslim yang besar seperti Indonesia, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara Timur Tengah. Ramai peserta menyatakan keterujaan terhadap cara ZAYAN mengendalikan operasi radionya di Malaysia, dan melihatnya sebagai model yang boleh diteladani untuk pembangunan stesen radio Islamik di negara masing-masing.
Radiodays Asia merupakan acara penting dalam kalendar industri penyiaran radio, yang menjadi medan pertemuan antara pemimpin industri, pakar kandungan, dan inovator teknologi dari seluruh dunia. Tahun ini, pemilihan Jakarta sebagai tuan rumah telah memberi peluang kepada lebih banyak penyertaan dari negara-negara Asia Tenggara dan Asia Selatan, menjadikan perbincangan lebih inklusif dan berfokus kepada keperluan serantau.
Penyertaan ZAYAN dalam acara ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan stesen tersebut di peringkat serantau, malah membuka peluang untuk kerjasama dan pertukaran ilmu dengan rakan industri dari luar negara. Ia juga menjadi bukti bahawa kandungan Islamik kontemporari mempunyai tempat yang signifikan dalam dunia media moden.
ZAYAN terus komited untuk memperkasa komuniti melalui kandungan yang membina, menyentuh jiwa dan memberi inspirasi. Dengan sokongan pendengar dan rakan industri, ZAYAN akan terus melangkah ke hadapan sebagai peneraju kandungan Islamik kontemporari di Malaysia dan rantau Asia.