Zayan Raikan Kunjungan Ustaz Wadi Anuar dalam Segment Pagi Bersama FBI & Anas
27
August
2024

Zayan Raikan Kunjungan Ustaz Wadi Anuar dalam Segment Pagi Bersama FBI & Anas

Kuala Lumpur, 27 Ogos 2024 – Radio Zayan dengan penuh rasa bangga menyambut kunjungan hormat daripada Ustaz Wadi Anuar dalam segmen pagi yang dikendalikan oleh FBI (Faizal Ismail) dan Anas Tahir . Kehadiran Ustaz Wadi Anuar telah memeriahkan suasana pagi Zayan, ditambah lagi dengan kehadiran pelakon terkenal Fauzi Nawawi, yang turut menceriakan program tersebut.

Topik  “Menepis Fitnah” yang dibawakan dalam episod kali ini sangat bertepatan dengan realiti semasa, di mana penyebaran fitnah melalui media sosial semakin menjadi masalah besar dalam masyarakat. Melalui perbincangan mendalam bersama Ustaz Wadi Anuar, isu ini dibincangkan dengan penuh hikmah, di mana beliau memberi panduan jelas kepada semua generasi dalam menghadapi ancaman ini. 

Kehadiran Fauzi Nawawi turut menambah kemeriahan segmen pagi Zayan kali ini. Pelakon terkenal ini turut berkongsi pandangannya mengenai fitnah dalam dunia hiburan, di mana beliau menegaskan kepentingan menjaga nama baik dan reputasi, serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam berinteraksi di media sosial. “Sebagai selebriti, kita sering menjadi tumpuan dan tidak terlepas dari fitnah. Namun, yang penting adalah bagaimana kita menghadapinya dengan bijak dan tidak melatah,” kata Fauzi.

Zayan turut bersiaran langsung di platform TikTok semasa kunjungan ini, di mana ia berjaya menarik lebih 8,000 tontonan. Ini menunjukkan betapa setianya minat pendengar dan pengikut Zayan terhadap kandungan yang bermutu dan relevan dengan kehidupan seharian. Ahmad, penerbit segmen pagi Zayan, melahirkan rasa syukur atas sambutan yang diterima. “Ini menunjukkan bahawa pendengar kita bukan sahaja berminat dengan hiburan, tetapi juga mencari pengisian rohani yang dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian.”

Rakaman Bacaan Surah Al-Mulk oleh Ustaz Wadi Anuar

Dalam perbincangan yang penuh bermakna ini, Zayan mengambil inisiatif untuk merakamkan bacaan Surah Al-Mulk oleh Ustaz Wadi Anuar. Video eksklusif ini akan dilancarkan pada 31 Ogos 2024, bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun. Ahmad menyatakan, "Surah Al-Mulk adalah surah ke-67 dalam Al-Quran, dan ini adalah simbolik yang sangat bermakna buat kami di Zayan. Kami harap rakaman ini akan menjadi satu bentuk sumbangan kami dalam memperkukuh jati diri dan spiritual pendengar sempena ulang tahun kemerdekaan negara."

Bagi mereka yang tidak berkesempatan menyaksikan siaran langsung ini, Zayan memberi peluang untuk mendengar semula siaran ulangan melalui aplikasi SYOK. Wan Syahrul turut menzahirkan rasa teruja atas kunjungan pertama Ustaz Wadi Anuar ke Zayan. Ini adalah langkah besar bagi kami dalam usaha membawa lebih banyak kandungan yang bermanfaat untuk masyarakat. Zayan sentiasa berusaha memastikan setiap kandungan yang disajikan bukan sahaja menghibur tetapi juga mendidik. Kami amat berbesar hati dengan kunjungan Ustaz Wadi Anuar dan berharap kerjasama seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan.”