ZAYAN Terus Dekati Komuniti, Anjur Majlis Tahnik Perdana Bersama Hospital Pakar An-Nur BANGI,
BANGI, 19 NOVEMBER 2026 – Stesen radio ZAYAN meneruskan komitmennya dalam mendekati komuniti menerusi penganjuran Majlis Tahnik Perdana bersama ZAYAN dengan kerjasama Hospital Pakar An-Nur Bangi, yang turut menjadi lokasi rasmi berlangsungnya majlis berkenaan.
Majlis istimewa ini menghimpunkan hampir 100 bayi terpilih menerusi proses pemilihan oleh pihak pengurusan ZAYAN. Lebih bermakna, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil, yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Menurut Pengurus Jenama ZAYAN, Zureen Affendi, sambutan luar biasa yang diterima daripada ibu bapa amat menggembirakan pihaknya dan membuktikan bahawa inisiatif berteraskan kekeluargaan serta nilai keagamaan seperti ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan sambutan yang diterima bagi Majlis Tahnik Perdana ZAYAN. Penyertaan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa, selain melihat kegembiraan mereka sepanjang majlis berlangsung, memberikan satu pengalaman yang cukup bermakna buat seluruh warga ZAYAN.
“Bagi kami, penganjuran ini bukan sekadar sebuah program, tetapi satu usaha untuk berkongsi kegembiraan dengan ibu bapa serta menyediakan ruang untuk mereka dan anak-anak menjadi sebahagian daripada pengalaman istimewa ini. Lebih menggembirakan, majlis ini dapat dianjurkan secara percuma kepada semua peserta terpilih,” katanya.
Zureen turut merakamkan penghargaan kepada Hospital Pakar An-Nur Bangi atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan majlis berkenaan, selain menghargai kesudian Mufti Wilayah Persekutuan meluangkan masa bersama para peserta.
ZAYAN berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dengan pendengar dan komuniti, selari dengan identiti ZAYAN sebagai stesen radio yang dekat di hati masyarakat.
ZAYAN ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ZAYAN memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid dan ketuhanan, menjadikannya stesen radio nasyid pilihan rakyat Malaysia.
Dengan lebih 1 juta pengikut di media sosial, ZAYAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Destinasi Nasyid Anda. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ZAYAN di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ZAYAN melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
ZAYAN – Destinasi Nasyid Anda!