Pendukung watak utama, Namron, berjaya hidupkan dua watak penting;
‘Jaafar Bin Kasim’ & ‘Puteri Che Pa’
KUALA LUMPUR, 18 September 2017 – ‘Sanggul Beracun’, ‘Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman’, ‘Sebuah Piala Seekor Kambing’, ‘Vespa Sharif Dol’, ‘Asyura’ dan yang terbaru, ‘Dukun Doktor Dani’ adalah di antara karya-karya hebat seorang figura serba boleh yang begitu dihormati ramai. Sabri Yunus, bukan nama asing lagi dalam industri seni tanah air. Memulakan langkah beliau sebagai penggiat teater, Sabri turut merupakan seorang pelakon yang cukup disegani, pelawak, pengacara dan juga seorang sutradara yang diiktiraf di majlis-majlis penganugerahan berprestij. Beliau kini kembali dengan sebuah lagi naskhah istimewa bertajuk ‘Che Pa’ yang bakal menemui penonton di Astro First Eksklusif (saluran 480) dan platform digital ‘on demand’ pada 21 September 2017.
Pengalaman lebih dari 30 tahun dalam gelanggang seni ternyata membuka ruang dimensi tersendiri dalam dunia pengarahan yang kebanyakannya lahir dari kisah-kisah benar yang berlaku di sekeliling masyarakat. Sabri terkenal dengan sentuhan beliau yang berkisar akan adat dan kebudayaan, sarat dengan mesej-mesej kerakyatan dan dalam ‘Che Pa’ ini, beliau sekali lagi memperjuangkan seni tradisional. Kali ini, ia adalah mengenai ‘Tarian Hadrah’. ‘Hadrah’ merupakan rutin tarian purba tempatan di mana barisan penari lelaki berpakaian perempuan. Di Malaysia, kesenian tarian ‘Hadrah’ mula diperkenalkan sekitar tahun 1910 di Pulau Pinang dan kemudiannya menjadi amat popular pada tahun 1950-an dan 1960-an, terutamanya bagi penduduk di Utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
Menampilkan pelakon terkenal, Namron sebagai pengemudi utama bernama ‘Che Pa’, naskhah ini turut memperlihatkan kehadiran Ezany Nizariff sebagai ‘Che Puteh’, Amyza Aznan sebagai ‘Cik Puan’ yang turut merupakan bekas isteri Che Pa, pendatang baru Putri Hanan Ahmad Shukri sebagai ‘Bibah’, anak kepada Che Pa, serta arwah Yusri Edoo atau Pak Yus Jambu sebagai Cik Man yang merupakan Ketua Kumpulan dan pemain gendang dalam kumpulan Hadrah tersebut. Ini turut merupakan penglibatan terakhir beliau di persada seni sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada November 2015.
‘Che Pa’ merupakan karya asal Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dengan skrip dihasilkan oleh penulis skrip tersohor Nazli Jaafar atau Che Li, dan diterbitkan oleh Hj. Md Fadzil Teh yang mewakili Zeel Production Sdn. Bhd.
Mengulas mengenai karya ‘Che Pa’ ini, Ketua Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail berkata, “Hadrah merupakan salah satu cabang seni tradisional yang semakin dilupai ramai. Malahan, ada di antara generasi masa kini yang tidak pernah mendengar apatah lagi berkesempatan untuk menonton persembahan ini yang pada satu ketika dahulu cukup dikenali terutamanya di kalangan masyarakat yang menetap di bahagian Utara tanah air. ‘Hadrah’ pernah disanjung sehebat tarian Zapin dari negeri Johor, Dondang Sayang dari negeri Melaka dan Mak Yong dari negeri Kelantan. Sayangnya, keindahan ‘Hadrah’ makin dilupai. Bertitik tolak dari situ, saya kemudiannya mula berbincang dengan saudara Sabri Yunus dan pihak penerbitan Zeel Production untuk mengembalikan semula kegemilangan ‘Hadrah’ menerusi sebuah naskhah FTV. Kami turut diberi kesempatan untuk berjumpa dan mendengar sendiri pengalaman dari salah seorang penari asal ‘Hadrah’ iaitu Wak Inson, 76 tahun yang kini menetap di Perlis.
Secara peribadi, saya sendiri amat teruja dengan karya ini. Ia menampilkan sisi hidup penari ‘Hadrah’ yang menyarung dua karakter tatkala menelusuri realiti kehidupan. Bukan semua orang berani atau boleh mempersembahkan dirinya sebagai seorang Puteri di khalayak umum, tambahan pula ‘Puteri’ itu dilahirkan sebagai seorang lelaki. Lemah gemalai seorang puteri, lenggok lembut yang diungkap dalam setiap gerak tari, dialun pula dengan gemersik suara nyanyian serta iringan muzik menawan sebagai latar belakang persembahan, ini semua adalah senario biasa bagi sebuah pertunjukan ‘Hadrah’. Justeru, babak-babak inilah yang kami angkat dalam FTV ini.
Saya rasakan, pujian harus diberikan kepada Namron yang ternyata berjaya menjiwai watak ‘Che Pa’ dengan baik sekali. Watak seorang puteri dan pada masa yang sama ditampilkan sebagai seorang bapa yang tegas berjaya didukung sempurna oleh beliau. Sabri Yunus sebagai Pengarah pula berjaya memisahkan konflik karakter dua dunia ini. Beliau yang terkenal dengan kisah-kisah benar yang berlaku dalam masyarakat sekali lagi berjaya menzahirkan sebuah lagi karya hebat. Syabas diucapkan kepada Sabri, Che Li, Hj. Zeel serta barisan pelakon dan penerbitan di atas kejayaan ini.”
‘Che Pa’ dan kumpulan tarian hadrahnya, ‘Kumpulan Hadrah Seri Pauh’, cukup popular pada suatu ketika dahulu. Mereka disanjung tinggi dan setiap persembahan begitu dinantikan-nantikan oleh penonton. Tarian ‘Hadrah’ itu jugalah yang telah membawa mereka menjelajah ke negara asing seperti Perancis, Britain dan Amerika Syarikat. Namun kini, zaman telah berubah dan ramai yang tidak mengerti mengapa perlu dihidupkan semula tarian atau seni yang menampilkan lelaki berpakaian, berhias, bersolek serta bersanggul seperti wanita. Sehingga ada masanya persembahan yang mereka sampaikan dikecam dan diserbu oleh pihak berkuasa semata-mata kerana persepsi haram berpakaian ‘cross-dressing’.
Walaupun sering diejek dan dimalukan kerana pekerjaannya, ‘Che Pa’ amat mengagungkan tarian ini, yang pernah menjadi punca rezeki beliau dalam membesarkan anak perempuannya. Bibah sebelum ini bangga dengan bapanya dan pujian demi pujian dikalungkan kepada bapa beliau dan nama itu kerap kali di bibirnya di kala bersama kawan-kawan. Sehinggalah beliau berkenalan dengan seorang lelaki dan cinta memusnahkan kasih seorang anak kepada bapa. Pujian-pujian yang dahulu mekar kini bertukar menjadi cacian dengan pandangan jijik serba malu dilemparkan kepada bapanya. Sebelum ini, isteri yang disanjungi meninggalkan beliau, kini satu-satunya anak yang menjadi tempat beliau menumpang kasih itu jugalah memalingkan muka darinya.
‘Che Pa’ kini di persimpangan. Beliau menerima satu tawaran untuk membuat persembahan di ‘Minggu Kesenian Rakyat’ di sebuah universiti. Persembahan berskala besar ini merupakan peluang keemasan beliau untuk mengangkat kembali kegemilangan ‘Hadrah’. Beliau cuba memujuk bekas ahli kumpulannya untuk menyertainya tetapi mereka enggan. Sama seperti Bibah, mereka malu dengan dunia ‘Hadrah’ yang pernah melonjakkan nama mereka. Ada di antara ahli kumpulan yang merasakan menyertai ‘Hadrah’ pada satu ketika dahulu adalah kesilapan terbesar yang pernah mereka lakukan. Kini mereka menyesal. Kini mereka bertaubat. Tetapi kenapa perlu menghukum Che Pa? Dosakah Che Pa? Haramkah dunia yang digelumangi Che Pa?
Saksikan pengakhirannya pada 21 September ini di Astro First Eksklusif, saluran 480 dan platform ‘on demand’. Dengan hanya RM 15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian. #TerobekRaya juga boleh didapati di platform digital, ‘on demand’.
# TAMAT #