‘Ceria i-Star 2017’ Jadi Medan Himpunan Bakat Cilik Islamik Dari Tiga Negara Nusantara
25
September
2017

‘Ceria i-Star 2017’ Jadi Medan Himpunan Bakat Cilik Islamik Dari Tiga Negara Nusantara

 

Industri hiburan berlandaskan Islamik dilihat kian mendapat tempat dalam persada seni tanah air dengan kemunculan beberapa program yang mengetengahkan unsur-unsur Islamik. Demi meneruskan perkembangan positif ini, Astro Ceria sekali lagi membawakan sebuah program pencarian bakat cilik Islamik, ‘Ceria i-Star 2017’ yang akan mula bersiaran di kaca televisyen penonton selama satu jam pada setiap hari Sabtu, mulai 7 Oktober 2017, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611), Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135). Program ini turut boleh ditonton di aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Masih mengekalkan format dan konsep yang sama seperti musim terdahulu, konsert akhir akan bersiaran secara langsung manakala konsert mingguan selama enam minggu merupakan konsert rakaman. Bintang utama program ini iaitu 11 peserta cilik terdiri daripada tujuh peserta solo dan empat peserta berkumpulan mewakili negara-negara Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei. Terdahulu, sesi pencarian bakat telah diadakan pada bulan Ogos di negara-negara yang dinyatakan, yang mana setiap peserta perlu melepasi beberapa peringkat saringan termasuklah fasa uji bakat sebelum di senarai pendek sebagai peserta rasmi untuk musim ini.

‘Ceria i-Star 2017’ membuka peluang kepada peserta untuk mempersembahkan bakat dan aksi masing-masing dalam dalam menyampaikan kandungan Islamiah menerusi medium yang komersial dan di atas talian. Daripada pendakwah muda sehinggalah kepada penyanyi lagu-lagu ketuhanan sehinggalah ‘choral speaking’ dalam Bahasa Arab, ‘Ceria i-Star 2017’ bermatlamat mengangkat mesej Islam dalam cara yang paling menarik dan sedikit santai khususnya dalam menarik minat anak-anak di rumah untuk lebih mendalami konsep agama Islam yang mudah dan indah. Para peserta dibenarkan untuk berpidato, berlawak, bersketsa, berseloka, bercerita, bertaranum, berceramah, pengucapan awam, bermain alat muzik, berdikir barat dan pelbagai lagi mengikut pada kreativiti masing-masing.

Mengulas mengenai penganjuran ‘Ceria i-Star 2017’, Penolong Naib Presiden Perniagaan GEN NEXT Astro, Mohd Irwan Abdul Rauf berkata, “Kejayaan program ‘Ceria i-Star’ pada tahun lalu telah meletakkan satu tanda aras yang tinggi dalam penerbitan program ini. Sambutan yang diterima sungguh di luar jangkaan baik daripada segi jumlah penyertaan semasa sesi ujibakat mahupun sokongan padu penonton, membuatkan kami berasa bertanggungjawab untuk meneruskan program yang mengangkat kandungan mesej Islamik menerusi kepelbagaian bakat ini bagi musim kedua. Semua maklum balas yang kami terima telah diambil kira dan dikaji untuk memantapkan kandungan program bagi musim ini. Hasilnya, bagi ‘Ceria i-Star 2017’ ini, kami ingin membuka peluang kepada lebih ramai lagi bakat cilik untuk mempamerkan kelebihan diri masing-masing dengan menukar had umur peserta kepada 5 hingga 15 tahun berbanding 7 hingga 14 tahun pada musim lalu.

Kejayaan penganjuran musim terdahulu juga membuatkan kami terpanggil untuk sekali lagi meninjau pasaran kandungan Islamik khususnya buat kanak-kanak di negara-negara serantau secara serius. Justeru, kami sekali lagi menjengah negara jiran seperti Indonesia dan Brunei untuk mencari bakat-bakat kecil yang satu hari nanti bisa menjadi penyambung kepada pendakwah-pendakwah di Nusantara. Uniknya ‘Ceria i-Star’ ini adalah ianya mengetengahkan anak-anak kecil luar biasa yang punya bakat berganda, dan kami di Astro Ceria akan menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk mendidik dalam masa yang sama menghiburkan penonton di rumah.

Kami yakin, kekuatan konsep program ini mampu memikat hati penonton cilik khususnya dan seisi keluarga umumnya, seterusnya memastikan matlamat utama ‘Ceria i-Star’ untuk menyampaikan mesej Islamik kepada generasi muda tercapai”, tambah Irwan lagi.

Untuk musim kedua ini, ‘Ceria i-Star 2017’ masih mengekalkan pelawak, pelakon dan pengacara yang tidak asing lagi bagi penonton setia Astro Ceria, Nabil Ahmad dan penceramah bebas, PU Yeop, sebagai ‘Pengacara’. Mereka akan ditemani oleh Dzawin Nur Ikram atau lebih dikenali sebagai Dzawin sebagai ‘Pengacara Bersama’. Pelawak yang berasal dari Indonesia ini dilihat bijak menyelitkan mesej-mesej Islamik dalam setiap persembahan lawak yang dipentaskan. Hal ini seiring dengan konsep program ‘Ceria i-Star 2017’ yang menggalakkan penggunaan bakat tersendiri dalam menyampaikan mesej Islamik.

Pentas ‘Ceria i-Star 2017’ akan diceriakan dengan kehadiran tujuh orang peserta solo iaitu Sajjad (11 tahun, Bandung Indonesia), Syifa (8 tahun, Jakarta Indonesia), Rayyan (13 tahun, Kelantan), Hazury (12 tahun, Pahang), Puteri Siti Mahirah (13 tahun, Johor), Ayeen (10 tahun, Kedah), Fikki (14 tahun, Brunei) dan empat peserta berkumpalan iaitu IG (Islamic Girls) dari Kelantan, Madani dari Selangor, U.M.M dari Indonesia dan Malaysia serta Soutul Balad dari Kelantan.

Irwan menambah, “Sepanjang jelajah sesi ujibakat ‘Ceria i-Star 2017’ dijalankan, pihak kami menemui begitu ramai bakat cilik yang boleh digilap dan diketengahkan. Daripada situ, kami dapat melihat potensi besar dalam perkembangan hiburan Islamik jika bakat anak-anak cilik ini terus digilap. Seramai lebih kurang 300 peserta telah hadir ke sesi ujibakat yang diadakan dan mereka ini dilihat benar-benar melakukan persiapan yang rapi, mempamerkan kesungguhan yang tinggi dan lebih mengagumkan apabila mereka amat mempercayai bakat yang mereka ada dapat digunakan untuk menyebarkan benih-benih dakwah. Keyakinan diri mereka yang begitu tinggi sangat menyentuh jiwa. Justeru, kesemua 11 peserta yang telah dipilih ini merupakan yang terbaik dalam kalangan terbaik dengan kelebihan mereka tersendiri. Saya yakin, kehadiran bakat-bakat besar ini di pentas ‘Ceria i-Star 2017’ akan menjadikan penganjuran program pada musim ini lebih hebat.”

Program ‘Ceria i-Star 2017’ menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM 15,000.00 beserta trofi untuk juara, RM 10,000.00 beserta trofi untuk pemenang tempat kedua dan RM 5,000.00 beserta trofi untuk pemenang tempat ketiga.  

Bagi menjaga kredibiliti dalam sistem pemarkahan, barisan juri akan mengadili sepenuhnya persembahan para peserta dari minggu pertama sehingga minggu separuh akhir, manakala bagi minggu akhir pula, 50 peratus pemarkahan terletak di tangan juri dan 50 peratus lagi di tangan penonton yang boleh mengundi peserta kegemaran menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Peserta dengan markah tercorot akan disingkirkan pada setiap persembahan mingguan.

Selain daripada Nabil Ahmad, PU Yeop dan Dzawin, keluarga besar ‘Ceria i-Star 2017’ turut disertai oleh Ustaz Amin Idris dan Imam Muda Asyraf yang bertindak sebagai ‘Juri Tetap’. Penilaian mereka akan disokong oleh seorang juri jemputan mingguan dari negara-negara serantau yang akan menduduki kerusi ‘Juri Nusantara’.

Tugasan ‘Penasihat’ pula terletak di bahu Ustaz Zulkefli Hamat yang akan memantau perkembangan setiap peserta, isi kandungan serta gaya persembahan supaya selari dengan garis panduan dan imej program. Beliau akan dibantu oleh saudara A Aris Kadir selaku ‘Guru Persembahan’ yang akan membentuk setiap peserta demi pementasan sebuah persembahan mingguan yang hebat dan berkesan.

Liputan terkini dan menyeluruh mengenai ‘Ceria i-Star 2017’ akan dikemas kini dari semasa ke semasa di laman sosial Instagram rasmi program, @astroceria.

Caliph, makanan sunnah tambahan buat tumbesaran kanak-kanak pula memberi sokongan padu terhadap ‘Ceria i-Star 2017’ dengan menjadi ‘Penaja Utama’.

Daripada barisan peserta ke barisan juri sehinggalah pengacara program, semuanya hebat-hebat belaka. Jadi, jangan lupa temujanji anda bersama mereka di ‘Ceria i-Star 2017’ yang akan bersiaran mulai 7 Oktober 2017 (Sabtu), jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan siaran serentak di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135). ‘Ceria i-Star 2017’ turut boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.