Drama bersiri Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga merupakan sebuah naskah asal yang diinspirasikan daripada konflik gerakan golongan ekstrimis dan feminis berlandaskan ideologi agama yang terpesong terbitan pihak Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi Nuansa Sdn Bhd. Drama 35 episod arahan Shuhaimi Zulkefli ini turut mendapat sentuhan sutradara berkaliber, Osman Ali selaku Pengarah Kreatif serta Siti Jasmina Ibrahim selaku penulis skrip.
Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga sudah mula ditayangkan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima berkata: “Sebelum ini, Astro Prima sering menerbitkan kandungan drama yang mengetengahkan format adaptasi kerana fenomena tersebut terbukti mendapat sambutan positif daripada peminat drama Melayu. Terbaharu, kami mengangkat naskah asal untuk diketengahkan menerusi drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga yang dilihat memiliki kekuatan tersendiri daripada segi naratif penceritaan bagi memberi kelainan dan variasi kepada penonton. Berbeza dengan drama Melayu klise yang sering mengangkat konflik cinta dan perebutan kuasa, drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga mengangkat isu yang lebih berat dalam mengupas konflik akidah dan ancaman ideologi gerakan pemikiran sesat berlandaskan agama yang tersasar daripada ajaran Islam sebenar. Walaupun mengundang kontroversi, namun kami percaya para penonton dapat mengambil iktibar dan menghargai nilai estetika seni yang ingin disampaikan menerusi drama ini.”
Trivia Drama Jalan `Sesat` Ke Syurga
- Sutradara Osman Ali yang merupakan Pengarah Kreatif untuk drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga tidak memerlukan pengenalan yang panjang lebar kerana direktori seni dan reputasi beliau dalam bidang pengarahan cukup dikagumi.
- Manakala penulis skrip untuk drama ini iaitu Siti Jasmina Ibrahim pula pernah memenangi beberapa anugerah berprestij dalam bidang penulisan seperti Anugerah Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobbil.
- Kumpulan ajaran sesat yg diketengahkan dalam drama ini iaitu ‘Hawa Islam’ dan ‘Gerakan Elit’ adalah hasil kaji selidik mendalam yang dilakukan oleh syarikat produksi dan penulis skrip. Ia diinspirasikan daripada gerakan golongan ekstrimis dan feminis yang memperjuangkan ideologi sesat dan bercanggah dengan garis panduan Islam yang sebenar untuk kepentingan sendiri.
- Drama ini juga turut mendapat khidmat nasihat daripada jabatan agama Islam serta golongan yang sudah insaf dan pernah menyertai kumpulan ajaran sesat sebelum ini.
- Drama Jalan ‘Sesat’ Ke Syurga juga turut mempertaruhkan empat pelakon handalan selaku tonggak utama iaitu Dato’ Aaron Aziz, Elizad Syarifuddin, Aleza Shadan dan Dato’ Jalaluddin Hassan.
- Dato’ Jalaluddin juga mengalami kecederaan di kaki semasa penggambaran dan terpaksa berehat untuk beberapa hari. Namun dia masih bersemangat dan komited untuk meneruskan penggambaran walaupun dalam keadaan kaki yang bengkak.
- Jadual Elizad agak padat kerana dia juga merupakan penyampai radio sepenuh masa di SINAR. Oleh itu, semua jadual penggambaran terpaksa disusun mengikut jadual tugasan radio Elizad.
- Cabaran terbesar sepanjang penghasilan drama ini ialah penggambaran yang tertangguh ketika tempoh kritikal sewaktu arahan PKP dikeluarkan. Namun, penggambaran drama ini akhirnya dapat disiapkan mengikut garis masa yang diberikan selepas mendapat kelonggaran daripada pihak berkuasa sewaktu tempoh PKPP dilaksanakan walaupun terikat dengan SOP yang ketat.
- Untuk mengejar garis masa sekaligus mempercepatkan keseluruhan proses penggambaran, krew produksi yang terlibat telah dipecahkan kepada dua pasukan bagi memastikan drama ini dapat disudahkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
- Lokasi utama penggambaran drama ‘Jalan Sesat Ke Syurga’ telah dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur serta masih lagi dalam fasa penggambaran pada ketika ini.
- Single ‘Luka’ nyanyian MADAM yang merupakan band pertama di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini.
Barisan Pelakon Drama Jalan `Sesat` Ke Syurga
Pelakon Utama
Elizad Sharifuddin sebagai INARA
Dato’ Aaron Aziz sebagai HAMZAH
Dato’ Jalaluddin Hassan sebagai DR ZAQWAN
Aleza Shadan sebagai PUAN ASYIRAH
Pelakon Pembantu
Nelissa Nizam sebagai AIN
Zul Helmy sebagai AFIQ
Sri Idrina sebagai Julia
Zalfa Zin sebagai SALLY
Suzane Ortiz sebagai MUNA
Saliza Ali sebagai EMA
Rashidah Jaafar sebagai HALIMAH
Naza Manas sebagai MADI
Abil Habshi sebagai IKHWAN
Sinopsis Drama Jalan `Sesat` Ke Syurga
Inara (lakonan Elizad Sharifuddin) kembali bernafas setelah sudah diisytiharkan mati. Setelah ‘dihidupkan semula’, Inara berubah dan mahu menjadi seorang Muslimah yang baik, seorang yang bukan dirinya sebelum ini. Ibu bapa Inara, iaitu Asyirah (lakonan Aleza Shadan) dan Zaqwan (lakonan Dato’ Jalaluddin Hassan) gembira dengan perubahan Inara, namun apa yang diajar oleh mereka berkaitan agama menggelirukan Inara. Zaqwan merupakan ahli jemaah kumpulan ‘Gerakan Elit’. Manakala Asyirah pula memperjuangkan ideologi kumpulan ‘Hawa Islam’ yang berbeza dengan golongan ekstrimis ‘Gerakan Elit’.
Inara kemudian bertemu Hamzah (lakonan Dato’ Aaron Aziz), seorang penagih dadah yang positif HIV tetapi menjalani kehidupan yang sihat dengan menggunakan ubat ARV. Hamzah mengusahakan sebuah kafe komuniti yang bertujuan untuk membantu penagih-penagih dadah di luar sana. Apabila Hamzah bertemu Inara, dia tahu bahawa Inara adalah wanita yang terbaik untuk dirinya. Walaupun Inara pada mulanya menolak untuk cinta Hamzah, dia berasa selesa dan selamat di samping Hamzah. Mereka akhirnya bersetuju untuk berkahwin dan menyelamatkan ibu bapa Inara dari ajaran sesat yang dipraktikkan oleh mereka.
Hamzah mendapatkan sokongan dari gurunya di kampung, dan mereka membuat keputusan untuk menyertai kumpulan ajaran sesat tersebut dan mencari jalan untuk menyelamatkan ibu bapa Inara daripada kumpulan tersebut. Namun, apa yang mereka pelajari daripada kumpulan tersebut sangat mengejutkan. Ahli-ahli ajaran sesat tersebut sangat licik, pengkhianat dan berkelakuan ganas. Inara dan Hamzah menghadapi pelbagai cabaran dan banyak berkorban sepanjang mengikuti kumpulan tersebut. Akhirnya, dengan rahmat Tuhan, mereka berjaya menyelamatkan ibu bapa Inara dari kumpulan tersebut.