HAJATKU DI SINAR
HAJATKU DI SINAR
25
March
2019

HAJATKU DI SINAR

Jenama radio SINAR, Menyinari Hidupmu, memberi peluang kepada peminat-peminat SINAR untuk menunaikan Umrah melalui Hajatku Di Sinar yang telah berlangsung dari 4 hingga 17 Mac 2019.

Pakej Umrah Hajatku Di Sinar direalisasikan oleh Jus Nusantara Gold keluaran Almas Beauty & Health Sdn Bhd menanti dua (2) pemenang yang berjaya. Setiap satu pemenang juga bakal menerima sepasang pakej untuk mengerjakan Umrah.

Daripada hampir 600 penyertaan diterima, hanya 5 peserta disenarai pendek untuk ke peringkat akhir Hajatku Di Sinar berdasarkan kisah menarik yang telah dikongsi oleh mereka menerusi laman rasmi SINAR: sinar.my (sila rujuk lampiran untuk mendapatkan maklumat peserta Hajatku Di Sinar)

Pada malam ini, peserta-peserta perlu menceritakan semua kisah menarik tentang pengalaman yang dilalui, lantas memberi manfaat dan dijadikan pedoman ke dalam kehidupan. Kisah pengalaman mereka akan diadili dan mendapat pandangan daripada pakar motivasi terkenal Malaysia, Dato` Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Imam Muda Asyraf dan Pengasas Almas Beauty & Health Sdn Bhd, Datin Maziah Mohamed selaku penaja utama Hajatku Di Sinar.

Berlangsung di EDR, Astro, malam penentuan Hajatku di Sinar turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook LIVE, SINAR bermula pada jam 8 malam.


Senarai 5 peserta Hajatku Di Sinar dan petikan kisah yang dikongsi bersama SINAR

1) Idris bin Zulkifle - “Saya sangat tidak menyangka, seorang budak kampung yang tidak tahu apa itu universiti dan tersilap mengisi kod jurusan boleh sampai ke tahap ini. Bila direnung, masin sungguh mulut guru saya yang pesan untuk jadi saintis.”

2) Khairiah Nur Ezzati Mohd Halim - “Jika aku mengenang semula perbuatanku dahulu, nescaya air mata ini tidak akan berhenti mengalir. Itu sudah cukup menggambarkan betapa kejamnya aku terhadap ibu bapaku.”

3) Siti Hawa binti Ahmad - “Dengan takdir Allah yang Maha Esa, suatu hari aku dan anakku menziarahi kubur arwah suamiku dan dalam masa yang sama, dia pun sama menziarahi kubur arwah isterinya dan di situlah kami diperkenalkan oleh anak-anak kami.”

4) Nor Hasmalinda binti Abu Hashim - “Terlalu banyak pengorbanan PAKCIK yang kini ku panggil ABAH. Tidak terbalas jasa dan pengorbananmu. Kerana ABAH adalah ‘AYAH TIRI KIRIMAN TUHAN’ terbaik dalam hidupku.”

5) Intan Noorazura Abdul Ghafar - “Dalam masa yang sama, terpaksa berhenti kerja. Saya redha serta tawakal kerana saya percaya Allah ada untuk membantu. Alhamdulillah setelah segala urusan selesai, saya ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah dan kerja ini berpanjangan berkat sehingga sekarang.”