KUALA LUMPUR 27 OGOS 2025 – Radio Bahasa Melayu Astro Audio yang merangkumi ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, Sinar, THR Gegar dan Zayan, meneruskan komitmen kolektif dalam membanteras budaya buli melalui kempen “Kami Benci Buli” yang kini dijalankan di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur (SMTKL).
Menurut Azah Sahrin, Pengurus Jenama ERA, kempen ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu kami untuk menyemai nilai empati, hormat dan keberanian dalam kalangan pelajar sekolah menengah. SMTKL dipilih sebagai lokasi kerana komitmen tinggi pihak sekolah dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berakhlak mulia.
Beliau menambah, “Sebagai medium yang dekat dengan hati rakyat, kami di Astro Audio percaya bahawa radio bukan sekadar hiburan ia adalah suara masyarakat. Kami mempunyai tanggungjawab sosial untuk menggunakan platform kami bagi menyampaikan mesej yang membina, terutamanya kepada generasi muda yang sedang membentuk jati diri mereka. Isu buli bukan sekadar masalah disiplin ia adalah isu kemanusiaan yang memberi kesan jangka panjang terhadap emosi, keyakinan diri dan masa depan seseorang.”

“Kami mahu pelajar tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Suara mereka penting, dan mereka berhak untuk rasa selamat di sekolah. Melalui pendekatan yang mesra dan interaktif, kami berharap mesej anti-buli ini bukan sahaja didengar, tetapi benar-benar menyentuh hati dan mencetuskan perubahan. Kami juga ingin menggalakkan pelajar untuk menjadi agen perubahan bukan sekadar menolak buli, tetapi juga menyokong rakan-rakan mereka yang mungkin sedang melalui pengalaman tersebut.”
Program ini berlangsung semasa perhimpunan rasmi sekolah dari jam 7.00 hingga 7.30 pagi di Dewan Utama SMTKL, melibatkan 650 orang pelajar dan 59 orang tenaga pengajar. Sesi ini menampilkan penyampai radio dari pelbagai stesen Astro Audio termasuk Haziq, Syasha, Nikki, Ameer Dawi, Kak Sheera, Falyq, Hefny, Erwan dan Faizal Ismail, yang berkongsi mesej anti-buli melalui perkongsian pengalaman, aktiviti interaktif dan komunikasi dua hala yang membina.
Kempen “Kami Benci Buli” ini wajar diteruskan oleh semua pihak bukan hanya oleh institusi pendidikan dan media, tetapi juga oleh agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta persatuan-persatuan yang prihatin terhadap kesejahteraan generasi muda. Usaha kolektif ini penting untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, inklusif dan menyokong untuk semua pelajar di seluruh negara. Hanya dengan kerjasama menyeluruh, kita mampu membina budaya sekolah yang bebas daripada buli dan penuh dengan rasa hormat serta kasih sayang.