Pemerkasaan Wanita Fokus Utama Dua Telefilem Komedi Baharu Astro Ceria
Pemerkasaan Wanita Fokus Utama Dua Telefilem Komedi Baharu Astro Ceria
04
January
2021

Pemerkasaan Wanita Fokus Utama Dua Telefilem Komedi Baharu Astro Ceria

Astro Ceria dengan berbesar hati melancarkan “Légénda”, siri telefilem di mana watak dan jalan ceritanya diinspirasikan oleh kisah-kisah legenda dari zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara. Bagi membawa kelainan demi menyediakan kandungan yang menarik serta serba releven sebagai pembuka tirai tahun baharu ini, siri telefilem Légénda menerapkan pelbagai elemen moden dalam penceritaan, malah menjadikan tema pemerkasaan wanita antara fokus utama.

Saksikan Légénda Puteri Bulan yang akan disiarkan pada 6 Januari ini (Rabu), jam 9 malam di Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631). Manakala, telefilem kedua dari siri ini, Légénda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu yang sama. Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand.

Yasmin Yahya, Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios Astro, berkata, “Kami melihat siri telefilem Légénda ini sebagai satu peluang untuk menzahirkan kisah-kisah zaman dahulukala dan puteri-puteri Nusantara yang disajikan dalam nafas baharu, sesuai untuk santapan seisi keluarga. Dengan suntikan komedi dan fantasi, kami mengharapkan siri telefilem Légénda ini sedikit sebanyak dapat mencetuskan minat Gen Alpha (mereka yang lahir selepas tahun 2010) terhadap kisah-kisah legenda Nusantara, sekali gus mengabadikannya dalam sorotan kandungan kami agar ia tidak lapuk dek zaman.

Menarik lagi, pemerkasaan wanita menjadi salah satu fokus utama naskhah Légénda Puteri Bulan dan Légénda Puteri Felora ini, yang mana ia mengetengahkan protagonis bersifat bijak, baik hati, tidak mudah mengalah dan berjiwa besar. Selaku peneraju kandungan hiburan utama tanah air, kami menyedari kepentingan representasi positif bagi watak wanita dalam pembikinan sesebuah karya, terutamanya kandungan yang disaksikan oleh anak-anak kecil. Justeru itu, watak progresif Puteri Bulan dan Puteri Felora diharapkan dapat menjadi inspirasi untuk semua, sama ada perempuan mahupun lelaki, kanak-kanak atau dewasa terutamanya dari segi keyakinan diri.

Besar harapan kami agar siri telefilem Légénda ini dapat menimbulkan rasa minat dan ingin tahu audiens terhadap kisah-kisah dari zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara, dan bagi kami untuk terus menghasilkan kandungan yang terbaik untuk seisi keluarga bersama-sama nikmati sebagai penguat ikatan silaturrahim.”

Legenda Puteri Bulan | Pengarah: Bob Husaini

Puteri Zaleha (Uyaina Arshad) dilahirkan istimewa kerana mempunyai darah putih yang mampu menyembuhkan penyakit, lalu beliau menjadi kesayangan semua kerana usahanya untuk membantu rakyat. Manakala adiknya, Puteri Mariam (Putri Hanan), tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan inginkan perhatian dari kakaknya. Apabila Puteri Zaleha menerima pinangan yang tidak boleh ditolak daripada Raja Achewah, Puteri Mariam memulakan ekspedisi untuk menyelamatkan kakaknya dan juga negaranya, Sukalangka.

Légénda Puteri Bulan diinspirasikan daripada kisah Puteri Lindungan Bulan, dan penggambaran mengambil masa tujuh hari. Antara lokasi yang digunakan sebagai latar telefilem ini ada Perkampungan Budaya, Taman Botani Negara, Shah Alam dan juga di Kem Isi Rimba, Kemensah. Pengarah, Bob Husaini, menyatakan beliau mengambil filem Ali Baba Bujang Lapok sebagai rujukan bagi telefilem Légénda Puteri Bulan. Selebriti popular, Zizan Razak, Johan As’ari dan Rozita Che Wan turut hadir sebagai watak cameo.

Penulis Skrip: Eenaz Mokhtar, Farah Alya As’ari, Syadhafiza Rosli

Barisan Pelakon:

  • Uyaina Arshad sebagai Puteri Zaleha
  • Putri Hanan sebagai Puteri Mariam
  • Nabil Aqil sebagai Putera Alauddin
  • Ropie sebagai Sultan Sukalangka
  • Bell Ngasri sebagai Laksamana
  • Amerul Affendi sebagai Mansur

Légénda Puteri Felora | Pengarah: Ben Nambiar

Puteri Felora (Ruhainies) ialah puteri tunggal kerajaan Azania yang tidak menurut perintah ibu bapanya. Akibat pilihannya itu, Puteri Felora terperangkap di zaman moden bersama Mangko, arnab kesayangannya (Cik B). Di dunia masa kini, Puteri Felora diselamatkan oleh Mama (Vanidah Imran) dan keluarganya, namun Puteri Felora perlu segera mencari jalan pulang untuk menyelamatkan Azania dari kemusnahan. Telefilem Légénda Puteri Felora yang menampilkan perjalanan antara-dimensi juga mengambil masa 7 hari untuk penggambaran, dan melibatkan tiga lokasi utama – Janda Baik, Port Dickson, dan Ulu Yam. Telefilem ini juga menggunakan banyak CGI VFX (kesan khas). Malah, pelakon utama, Ruhainies beberapa kali perlu digantung di hadapan skrin hijau bagi memasukkan unsur kesan khas, seperti babak terbang dan kuasa ajaib.

Penulis Skrip: Sofia J Rhyland

Barisan Pelakon:

  • Ruhainies sebagai Puteri Felora
  • Aiman Tino sebagai Putera Ares
  • Dini Schatzmann sebagai Putera Flammar
  • Cik B sebagai Mangko si arnab
  • Dato` Fizz Fairuz sebagai Papa
  • Lana Nodin sebagai Nenek Gora
  • Vanidah Imran sebagai Mama
  • Dynas Mokhtar sebagai Permaisuri Zenab

Saksikan Légénda Puteri Bulan pada 6 Januari ini (Rabu), jam 9 malam di saluran Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631). Légénda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu dan saluran sama. Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand bagi pelanggan Astro.